SPRM Teliti Cadangan TI-M Tingkat Skor CPI

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan meneliti dan mengkaji cadangan dikemukakan Transparensi Antarabangsa Malaysia (TI-M) dalam usaha pencegahan rasuah di negara ini.

SPRM dalam kenyataan hari ini berkata perkara tersebut membabitkan sebarang cadangan berkaitan atau bawah bidang kuasa suruhanjaya itu bagi menyumbang kepada skor yang lebih baik kepada Malaysia pada masa akan datang.

“SPRM mengambil maklum berhubung kedudukan dan skor Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2020 seperti yang telah diumumkan oleh TI-M semalam,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan, SPRM turut menyambut baik maklum balas positif berhubung CPI 2020 berkaitan Pelan Antirasuah Nasional (NACP), penguatkuasaan Seksyen 17A Akta SPRM serta siasatan kes berprofil tinggi yang sedang berjalan.

Semalam, media melaporkan Malaysia jatuh enam anak tangga ke kedudukan ke-57 daripada 180 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparensi Antarabangsa (TI) bagi 2020.

Presiden TI-M, Dr Muhammad Mohan antaranya mencadangkan kerajaan Perikatan Nasional mempercepatkan pembaharuan institusi seperti menjadikan SPRM lebih bebas, mendesak pembentangan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) dan bukannya Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC).

Selain itu Dr Muhammad juga mencadangkan penggubalan undang-undang pembiayaan dana politik untuk menghentikan politik wang dan mengembalikan demokrasi berparlimen secepat mungkin. – BERNAMA