Singapura Uji Penanda Jalan 3D Bagi Kurang Laju

WASPADA… Jika di Terengganu, awal tahun lalu tular menerusi media sosial mengenai lintasan pejalan kaki berbentuk tiga dimensi (3D) di beberapa lokasi sehingga jadi tarikan pelancong pula.

Ia direka cukup unik untuk tujuan keselamatan jalan raya apabila pemandu memperlahankan kenderaan mereka kerana sangka laluan itu sempit di samping penduduk pula mula guna kemudahan ini untuk lintas ke seberang.

Namun kali ini pihak berkuasa Singapura turut tidak ketinggalan memanfaatkan lukisan ilusi 3D dengan mula uji penanda jalan imej baharu tersebut bagi galak pemandu mengurangkan kelajuan kenderaan mereka sendiri.

Ia akan dicuba di Zon Perak sepanjang Whampoa Drive menjelang hujung Disember. Dalam satu kenyataan media semalam, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) menyatakan konsep penanda jalan tersebut diadaptasi dari Jepun.

Baca: Seperti Berjalan Terapung Di Lintasan 3D Ini

Lintasan pejalan kaki berbentuk 3D di Terengganu. – Gambar hiasan

Media tempatan, Channel NewsAsia melaporkan, corak diguna pakai itu sebenarnya bertujuan untuk memastikan pemandu dapat mengurangkan kelajuan kerana lorong jalan tersebut akan kelihatan seolah-olah lebih sempit.

“Ujian akan membolehkan LTA menilai keberkesanan penanda,” menurut kenyataan itu. Zon Perak ialah kawasan khas dalam estet perumahan yang ramai penduduk warga emas dan sering berlaku nahas melibatkan golongan itu.

Kadar kemalangan dalam Zon Perak dijangka dapat dikurangkan hampir 75 peratus, daripada purata 14 kes setahun kepada hanya empat kes setahun melibatkan kawasan tersebut yang diselesaikan dengan pelbagai penanda jalan.

Sebanyak 10 lagi Zon Perak akan diwujudkan dalam usaha berterusan pihak LTA bagi mengurangkan kadar kemalangan melibatkan warga tua sering dilanggar kenderaan yang dipandu laju. – Agensi/Mynewshub.TV

Loading...