Sidang Dewan Rakyat Macam Ceramah Politik

GOMBAK – Meskipun sudah setahun kepimpinan kerajaan Pakatan Harapan, Dewan Rakyat masih tidak berubah apabila masih ada wakil rakyat yang menggunakan pendekatan ceramah politik ketika persidangan.

Perkara itu tidak sepatutnya berlaku, kata Speaker Datuk Mohamad Ariff Md Yusof.

Lantaran itu, beliau terpaksa memberi teguran semasa persidangan Dewan Rakyat yang sepatutnya berlangsung dengan penuh adab.

“Kelebihan Parlimen sepatutnya tidak melangkau sempadan sepatutnya, digunakan untuk menunjukkan kebencian, pembahagian dan ekstremis khususnya.

“Sedangkan, sistem Parlimen menuntut agar hormat- menghormati dipatuhi.

“Ceramah politik perlu ditinggalkan di luar Dewan Rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena pelancaran seminar sempena setahun Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Cara berdebat wakil rakyat berhubung isu tertentu dalam Dewan ujar Ariff mencerminkan perkembangan politik dalam negara yang sepatutnya semakin matang.

Beliau berkata, meskipun hak bersuara diperjuangkan namun pada suatu platform khususnya Dewan Rakyat, ia perlu dilakukan dengan beradab mengikut undang-undang.

“Pertikaian dan perdebatan memperlihatkan perkembangan politik, isu dan kedudukan parti di mata masyarakat.

“Parlimen perlu pimpin masyarakat dalam perbincangan wacana umum dengan baik,” tambah beliau. – MalaysiaGazette

Loading...