PUTRAJAYA – Kejadian sesak nafas dan muntah yang dialami 15 orang murid Sekolah Agama Taman Mawar di Pasir Gudang, Johor hari ini seakan sama simptom yang berlaku kepada pesakit yang terkesan akibat pencemaran Sungai Kim Kim sebelum ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pihak kementerian telah dimaklumkan mengenai kejadian tersebut dan akan menghubungi Pengarah Kesihatan Johor untuk mengetahui situasi semasa kejadian tersebut.
Jelasnya, maklumat awal kes tersebut mendapati murid-murid mengalami simptom seperti muntah dan sesak nafas.
“Kejadian itu berkemungkinan besar berpunca dari pencemaran gas organik sama seperti kes Sungai Kim Kim.
“Setakat ini situasi masih terkawal dan kita akan pantau situasi ini bagi mendapatkan maklumat lanjut termasuk menentukan punca dan tahap pencemaran udara yang berlaku,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
15 murid Sekolah Agama Taman Mawar, Pasir Gudang mengalami simptom muntah-muntah dan sesak nafas dipercayai terhidu udara tercemar dalam kejadian di sini petang hari ini.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Ibrahim Omar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.39 petang.
Pemeriksaan awal mendapati berlaku pencemaran udara dengan 15 murid mengalami simptom muntah-muntah dan sesak nafas.
Pasukan dari Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) dan Pasukan Emrs BBP Johor Bahru telah sampai ke lokasi untuk bantuan BBP Pasir Gudang.
Dalam pada itu, menurut Dzulkefly, masih terlalu awal untuk membuat keputusan sama ada pihak kementerian akan mengeluarkan arahan kepada sekolah berkenaan untuk ditutup ekoran kes tersebut.