Selesai Isu Ruang Udara, Maritim Secara Harmoni

DALAM suasana tenang, tiba-tiba muncul isu di antara Malaysia dan Singapura masing-masing membabitkan ruang udara dan sempadan maritim, namun ia belum sampai ke tahap tegang dan diyakini dapat diselesaikan secara bijak dan diplomasi.

Isu berkenaan ialah Malaysia menggesa Singapura segera menarik balik Pekeliling Pelabuhan Marin yang dikeluarkan republik itu pada 30 November lalu dan menghalang agensi penguatkuasaannya daripada menceroboh wilayah laut Malaysia.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mahu Singapura juga perlu menghalang agensi penguatkuasaannya daripada mengganggu tugas mereka yang memang sah dari segi undang-undang Malaysia dan antarabangsa untuk berada di perairan Malaysia.

Negara kita diminta menghentikan peluasan pelabuhan Johor Bahru (JPL) yang didakwa menceroboh kawasan Waters Territory Singapura (STW) di Tuas.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan Menteri Luar Negeri Singapura, Dr Vivian Balakrishnan, JPL melampaui batas wilayah tuntutan laut wilayah Malaysia, seperti dinyatakan dalam peta Malaysia 1979 yang Singapura tidak pernah menerimanya.

Perjanjian negara serantau

Menteri Pengangkutan Singapura, Khaw Boon Wan pula menyifatkan pengurusan langit ‘tiada kena-mengena dengan kedaulatan’, selepas rakan sejawatnya, Loke memberitahu Dewan Rakyat bahawa Malaysia berhasrat mengambil balik ruang udara di selatan Johor secara berperingkat-peringkat, bermula tahun hadapan.

Ruang udara itu diamanahkan kepada pengurusan Singapura menurut perjanjian dengan negara serantau termasuk Malaysia pada 1973, dan ia diluluskan badan antarabangsa, Pertubuhan Penerbangan Sivil Antarabangsa (ICAO).

Kita percaya isu ini dapat diselesaikan tanpa tidak menggugat hubungan diplomatik yang terjalin sejak sekian lama.

Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Hazmi Mohd Rusli yang menjadi satu-satunya pensyarah universiti Asia yang dijemput ke persidangan pertama Agensi Penguatkuasaan Maritim Amerika Syarikat yakin isu itu akan diselesaikan secara bestari dan harmoni.

Ada kaitan sejarah, kongsi maritim

Singapura yang asalnya sebahagian daripada Malaysia sebelum keluar pada 1965 sudah tentu mempunyai perkaitan sejarah dan pernah berkongsi maritim dengan negara kita.

Jika benar agensi republik itu menceroboh perairan negara kita dan menghalang agensi penguatkuasa negara kita menjalankan penguatkuasaan di perairan sendiri, itu satu kesalahan dan sepatutnya tidak berlaku dan sudah tentu Kerajaan Malaysia tidak akan berkompromi dan akan mempertahankan kedaulatannya.

“Ada perjanjian yang dimeterai oleh kedua-dua negara berhubung sempadan maritim dan Singapura tidak sepatutnya ‘mencabul’ kedaulatan perairan negara kita,” katanya.

Sebenarnya, ada hikmah di sebalik isu berkenaan untuk menguji hubungan akrab di antara kedua-dua negara, selain membuka ruang kepada negara kita menyelesaikan sempadan maritim dan darat dengan negara jiran berkenaan, selain negara sejiran lain.

Dr Hazmi menjelaskan banyak sempadan maritim antara negara kita dengan Indonesia dan Filipina belum diselesaikan sehingga kadangkala berlaku ‘ketegangan’ di antara negara kita dengan negara terbabit.

Ini bermakna, mulai sekarang negara kita perlu bertindak lebih ke hadapan untuk menyelesaikan isu sempadan maritim bagi memastikan isu itu dapat diselesaikan segera.

Selain, Singapura, Indonesia dan Filipina, negara kita juga mempunyai sempadan maritim, udara dan darat dengan Brunei yang juga memerlukan penyelesaian bijak.

Penulis mempunyai pengalaman meninjau perairan maritim negara kita dengan Indonesia dalam perairan Tawau di Laut Sulawesi, selain sempadan darat di Pulau Sebatik yang dikongsi kedua-dua negara.

Sempadan maritim yang sukar dikesan menyebabkan kami bimbang memasuki perairan negara jiran dan ditahan pihak berkuasa negara terbabit.

Muktamad sempadan maritim

Sebelum ini pun ramai nelayan kita yang ditahan pihak berkuasa negara jiran kerana didakwa menangkap ikan dalam perairan mereka. Isu ini akan berterusan selagi sempadan maritim belum dimuktamadkan.

Kita juga bimbang pelancong asing memasuki perairan negara jiran dan ini pasti menimbulkan konflik kerana membabitkan keselamatan warga negara lain yang masuk menerusi negara kita.

Negara kita khususnya masyarakat Melayu sebenarnya sudah lama menerokai samudera dan ada kepakaran mengesan sempadan samudera dengan negara lain.

Kesultanan Melaka memiliki Undang-Undang Laut Melaka yang digubal sendiri oleh Sultan Mansur Shah pada kurun ke-15 Masihi, namun kepintaran masyarakat Melayu dalam bidang ini hilang sedikit demi sedikit akibat penjajahan dan sekarang didominasi hampir sepenuhnya oleh sarjana Barat.

Berdasarkan bukti sejarah, masyarakat Melayu juga pelayar hebat pada zaman silam dan direkodkan masyarakat Melayu Nusantara berjaya belayar ke Madagascar ketika keagungan kerajaan Srivijaya pada kurun ke-9 Masihi.

Harap kerajaan tegas

Penganalisis jenayah, Datuk Shahul Hamid Abdul Rahim, pula berharap Kerajaan Malaysia bertegas dalam isu membabitkan sempadan maritim dan ruang udara.

Beliau menegaskan negara kita tidak sepatutnya terlalu berlembut sehingga negara lain sewenang-wenangnya menceroboh perairan dan ruang udara kita.

Ketegasan negara kita tidak akan menimbulkan konflik hubungan diplomatik kerana apa yang diperjuangkan ialah mempertahankan kedaulatan, bukannya menceroboh.

“Isu ini sudah lama berlarutan dan sepatutnya diselesaikan segera dengan menetapkan sempadan maritim dan ruang udara yang dipersetujui negara kita dengan negara terbabit,” katanya.

Justeru, isu membabitkan sempadan maritim dan ruang udara yang menjadi pertikaian antara Malaysia dengan Singapura, juga negara kita dengan negara jiran lain perlu diselesaikan secara adil dan saksama tanpa menggugat hubungan diplomatik. – BH ONLINE

Loading...