Samun Pusat Urut, 2 Sahabat Dipenjara 40 Bulan & Sebat

KUALA LUMPUR – Meringkuk di dalam penjara selama 40 bulan. Itu balasan buat dua sahabat yang melakukan samun di kedai refleksologi dan melibas sebilah pisau panjang sehingga mencederakan dua mangsa, Julai lepas.

M.Vicneswaran, 22, operator kilang alat ganti kereta dan M.Indaran, 22, pengawal keselamatan dijatuhi hukuman itu oleh Hakim Mahkamah Sesyen Emelia Kaswati Mohamad Khalid selepas kedua-dua tertuduh mengaku bersalah melakukan perbuatan itu.

Bukan sahaja dipenjara, kedua-dua tertuduh turut diperintahkan menjalani hukuman satu kali sebatan setiap seorang dan mahkamah memerintahkan kedua-duanya menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 8 Julai lepas.

Emelia Kaswati dalam penghakimannya berkata hukuman itu mengambil kira kesalahan yang dilakukan kedua-dua tertuduh adalah serius apabila telah menggunakan senjata tajam sehingga menyebabkan kecederaan ke atas dua orang mangsa.

Mengikut tuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa menyamun warga Bangladesh Jewel Khan, 23, yang merupakan juruwang di pusat refleksologi itu dan rakan Jewel, Tran Nhu Tam, 23, wanita Vietnam dengan menggunakan sebilah pisau bergigi panjang berukuran 31 sentimeter.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di pusat refleksologi itu di Plaza Metro Prima, Kepong, di sini pada kira-kira 7.15 pagi, 8 Julai lepas mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga didenda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Ketika rayuan, peguam Izzat Amir Saharudin yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon anak guamnya hanya dijatuhi hukuman penjara singkat dengan alasan mereka masih muda dan tidak berfikir panjang ketika melakukan perbuatan itu selain kedua-duanya telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan yang sama.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Aisyah Ahmad memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat ke atas kedua-dua tertuduh mengambil kira perbuatan yang dilakukan melibatkan penggunaan senjata dan kecederaan kepada mangsa. – BERNAMA

*Sekadar Video Hiasan..

Loading...