Sambutan Hari Keputeraan Sultan Johor Bermula Hari Ini

JOHOR BAHRU – Sambutan ulang tahun Hari Keputeraan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dimulakan dengan Istiadat Letak Kerja sebagai tanda simbolik bermulanya sambutan berkenaan hari ini di Tugu Peringatan, Istana Besar.

Istiadat Letak Kerja itu disempurnakan dengan menaikkan Bendera Istiadat Kerajaan Johor di sini, kira-kira 9 pagi ini.

Istiadat bermula dengan perarakan membawa masuk bendera ke kawasan tugu oleh 10 anggota askar Timbalan Setia Negeri (TSN) Johor, disusuli dengan upacara mengikat bendera pada tali di tiang bendera.

Upacara menaikkan bendera berkenaan dimulakan dengan bacaan doa oleh Mufti Johor Datuk Yahya Ahmad dan diikuti satu pengisytiharan istiadat oleh Datuk Penghulu Istiadat Datuk Latiff Yusuf.

Dalam pengisytiharan itu, Latiff memaklumkan bendera berkenaan akan berkibar sepanjang sambutan Hari Keputeraan Sultan Johor.

Upacara menaikkan bendera turut diiringi pasukan pancaragam dan pelepasan tujuh das tembakan meriam oleh TSN Johor.

Istiadat itu turut dihadiri Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor Datuk Abdul Rahim Ramli, Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian, Setiausaha Kerajaan Negeri Azmi Rohani, Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd serta ketua-ketua jabatan dan wakil agensi-agensi kerajaan. – BERNAMA

Loading...