Salah Guna Ketum Babitkan Pemimpin PKR Perlis?

KANGAR – Politik negeri ini kembali panas. Kali ini melibatkan dakwaan seorang pemimpin PKR Perlis terpalit dengan dakwaan salah guna ketum sehingga menyebabkan kepemimpinannya dipertikai oleh akar umbi kawasan individu itu.

Difahamkan individu yang terbabit itu merupakan pemimpin tertinggi PKR di negeri ini.

Sebelum itu, Malaysiakini melaporkan ketidakpuasan hati berhubung perkara itu disuarakan oleh sekumpulan pemimpin cabang Padang Besar melalui memorandum bertarikh 24 Mei, antaranya melibatkan Timbalan Ketua Cabang, Wan Mohamad Fishaal Wan Daud.

Memetik laporan portal itu, salinan berkaitan perkara itu diberikan kepada beberapa pemimpin kanan PKR, termasuk Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan naib-naib presiden lain.

Sementara itu, Bekas Pengerusi PKR negeri, Mohammad Faisol Abd. Rahman ketika dihubungi Utusan Malaysia bagi mengulas isu terbaharu itu berkata, belum reda mengenai isu video intim membabitkan individu mirip menteri, parti itu sekali lagi dikejutkan dengan kes penyalahgunaan ketum melibatkan pemimpin PKR negeri ini seperti dilaporkan media.

“Apa yang dapat saya sampaikan adalah sebagai pemimpin sewajarnya bebas dari sebarang bentuk salah guna bahan tidak berfaedah itu. Kita menjadi contoh pada masyarakat.

“Saya tidak pasti pemimpin Pusat mengetahui hal ini, tetapi setiap yang dilantik itu perlu di tapis dengan sebaiknya,” katanya. – UTUSAN ONLINE