Saki-Baki Kartel Projek Diburu SPRM

KUALA LUMPUR – Masih ada beberapa lagi individu berada dalam radar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mempunyai kaitan dengan kartel projek.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, siasatan lanjut masih giat dijalankan suruhanjaya itu walaupun suspek utama sudah ditahan.

Katanya, tangkapan terakhir setakat ini membabitkan seorang penjawat awam yang kini ditahan untuk siasatan lanjut.

“SPRM tidak tolak kemungkinan akan ada tangkapan baru membabitkan kes ini (kartel projek).

“Tangkapan terakhir setakat ini membabitkan seorang penjawat awam,” katanya dalam sidang media di Pejabat SPRM Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah JIM, Datuk Khairul Dzaimee Daud.

Sementara itu, sumber berkata, sebanyak 644 akaun individu dan syarikat yang dianggarkan bernilai RM100 juta turut dibekukan dalam siasatan kes kartel projek.

Kartel projek yang diketuai oleh ahli perniagaan berusia 47 tahun ini membolot projek kerajaan menerusi tender dan sebut harga bernilai lebih RM3.8 bilion. 

Difahamkan, sindiket ini sudah beroperasi sejak 2014 hingga 2021.

Kemewahan ditunjukkan oleh Datuk yang juga ketua sindiket itu amat luar biasa kerana bukan saja memiliki nilai hartanah dan wang tunai malah memiliki kapal mewah dan helikopter. – myMetro Online