RPK: Zeti Jadi Gabenor BNM Simpan Rahsia Skandal Tun M?

LONDON – Bukan sedikit malah mungkin cecah RM44 bilion atau lebih susulan pendedahan skandal tukaran asing Bank Negara Malaysia (BNM) akibat ‘permainan’ licik Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Itu cerita dibongkarkan bekas Penolong Gabenor BNM, Datuk Abdul Murad Khalid minggu lalu bahawa bank pusat tersebut mencatatkan kerugian lebih besar melalui kegiatan perdagangan mata wang dari 1991 hingga 1993 lalu.

Ekoran itu, ramai pihak mula mendesak bekas Perdana Menteri tampil memberi penjelasan secara lebih telus berhubung skandal forex terbesar dalam sejarah bank pusat dunia dan bukan sekadar menyalahkan individu lain.

Ini kerana sebagai ketua kerajaan pada era berkenaan, Mahathir, 91, pastinya sudah dimaklumkan dengan secara terperinci mengenai situasi yang berlaku apatah lagi ia melibatkan kehilangan besar wang rakyat marhaen sendiri.

Selain beliau, turut ‘berhutang’ penjelasan dengan rakyat Malaysia ialah bekas Gabenor BNM, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz yang perlu berani mendedahkan kebenaran skandal yang pernah disembunyikan sejak 28 tahun lalu.

Penulis politik terkenal, Raja Petra Kamaruddin atau lebih mesra dikenali sebagai RPK mendakwa, wanita tersebut yang kini berusia 69 tahun seharusnya tahu apa sebenarnya telah berlaku di BNM sejak akhir dekad 1980-an.

Menurut portal AgendaDaily, gabenor ketujuh BNM tersebut juga tahu siapa yang terlibat sehingga menyebabkan bank pusat berkenaan terjebak dalam perdagangan forex dan mengalami kerugian mega amat besar ketika itu.

Kata RPK, pihak BNM sebetulnya ‘berjudi’ dengan jumlah pertaruhan wang yang cukup besar pada masa tersebut malahan dikatakan telah beroperasi di London, Britain dan New York, Amerika Syarikat untuk tujuan berkenaan.

Baca: BNM Pernah Rugi AS$10 Bilion Akibat ‘Permainan’ Tun M

Juga: BNM Sahkan Berlaku Kerugian Sewaktu Mahathir Jadi PM

RPK: Zeti Jadi Gabenor BNM Simpan Rahsia Skandal Tun M?

“Pada akhir 1980-an lalu, Zeti pernah telah dihantar ke pejabat BNM di London, jadi beliau pasti tahu apa yang berlaku. Bagaimanapun, Zeti tidak pernah pun bercakap tentang hal skandal forex ini sejak 28 tahun lalu.

“Malahan beliau tidak pernah pula mendedahkan apakah cerita kebenarannya,” tambah RPK yang dipetik catatan blognya itu melalui portal berita tempatan www.malaysia-today.net semalam.

RPK turut mempersoalkan jawatan gabenor yang disandang Zeti sejak tahun 2000 daripada Datuk Ali Abul Hassan Sulaiman sehingga 1 Mei 2016 lalu apabila diambil alih oleh Datuk Muhammad Ibrahim.

“Adakah itu sebab­nya beliau kemudian ‘dihadiahkan’ jawatan gabenor? Dan merupakan sebahagian daripada fungsi kerja beliau adalah untuk tidak mendedahkan apa yang pernah berlaku pada tahun 1980-an.

“Bayangkanlah berapa banyak BNM benar-benar rugi, dan siapa orang yang berada di belakang tabirnya,” kata RPK sebagai mengulas kesan kerugian melibatkan sejumlah AS$10 bilion (RM44 bilion) akibat skandal dahsyat itu.

Menurutnya lagi, adalah sesuatu yang mustahil jika kerugian sebesar itu tidak memberi sebarang kesan atau tidak menjejaskan kedudukan kewangan dan ekonomi negara dalam suatu jangka masa panjang.

“Paling ketara yang mungkin berlaku kesan daripada kerugian yang dialami ialah kejatuhan nilai mata wang tempatan dan ada antara rizab BNM yang terpaksa ‘dilepaskan’ bagi menampung semula kerugian tersebut.”

Mungkin kesan tidak nampak pada ketika itu, disebabkan ada pihak yang bijak melindungi, selain isu kemerosotan ekonomi dunia berlaku pada 1998, namun ia mungkin satu kebetulan. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Loading...