RCI Wang Kelian: Punca Kematian Boleh Diketahui Awal

PUTRAJAYA – Pakar forensik yang menjalankan ujian deoksiribonukleik (DNA) terhadap mayat yang ditemukan di kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, Perlis, berpendapat punca kematian 119 individu terlibat dapat dikenal pasti sekiranya ujian tersebut dilakukan lebih awal.

Pakar Perunding Kanan Forensik, Hospital Besar Pulau Pinang, Datuk Dr. Zahari Noor berkata, beliau menerima lapan beg mayat pada Mei 2015, empat bulan selepas perkuburan beramai-ramai itu ditemukan.

“Pendapat saya, jika ujian DNA dapat dilakukan pada Januari 2015 sejurus selepas kubur ditemukan, lebih banyak bukti diperolehi.

“Ini kerana proses pembusukan berlaku dengan cepat selain masih banyak tisu lembut yang kekal untuk ditentukan punca kematian,” katanya pada sesi pendengaran awam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, Perlis, hari ini.

Zahari yang merupakan saksi ke-41 berkata, beliau tidak dapat mengenalpasti punca kematian ke atas lapan mayat yang diperiksa berikutan ujian dilakukan ke atas tulang mangsa.

Loading...