Rakyat Perlu Faham Kos Ambil Alih Konsesi – Mahathir

KLANG – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad meminta rakyat memahami tentang kos yang perlu ditanggung untuk kerajaan mengambil alih konsesi lebuh raya daripada syarikat konsesi.

Ini kerana, menurut beliau, proses pengambilalihan konsesi lebuh raya melibatkan wang rakyat yang dikutip melalui cukai.

“Kerajaan perlu beli highway (lebuh raya) guna duit siapa? Duit daripada cukai yang dikutip daripada rakyat, kemudian jalan mesti diperbaiki sepanjang masa, itu juga kena dibelanja oleh kerajaan tidak lagi oleh syarikat konsesi.

“Ini juga bermakna sebahagian daripada cukai yang kita kutip mestilah digunakan untuk menyelenggara jalan, bermakna kerajaan akan kekurangan wang untuk lain-lain projek yang juga perlu,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan kilang Metrod Holdings Bhd. di sini hari ini.

Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kritikan rakyat selepas kerajaan mengeluarkan kenyataan berhubung rundingan dengan Gamuda Bhd. untuk mengambil alih konsesi empat lebuh raya yang syarikat tersebut mempunyai pegangan majoriti. – BERNAMA

Loading...