Friday, March 29, 2024

Creating liberating content

Isu Hubungan Sulit: TPM...

CANBERRA - Timbalan Perdana Menteri Australia, Barnaby Joyce, telah meletak jawatan pada Jumaat...

Frost Percaya Chong Wei...

KUALA LUMPUR - Tidak mustahil untuk Datuk Lee Chong Wei menggenggam emas pada...

Pulang Sejam Awal, Penjawat...

PUTRAJAYA - Memandu pulang dari tempat kerja dalam kesesakan jalan raya mampu memberi...

Gambar MH370 Sudah Ditemui,...

KEHILANGAN pesawat MH370 milik Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur...

Rakyat Malaysia Di Iran, Itali Pulang Tempoh Seminggu

PUTRAJAYA – Sebanyak 127 rakyat Malaysia yang berada di Iran dan Itali dijangka dibawa pulang ke negara ini dalam tempoh seminggu menerusi siri ketiga Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana susulan penularan wabak COVID-19 di dua negara tersebut. 

Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar berkata daripada jumlah itu, 48 merupakan warga Malaysia yang berada di Iran, termasuk petugas kedutaan dan tanggungan masing-masing. 

“Sementara di Itali, setakat ini 79 daripada 323 rakyat Malaysia yang berada di negara tersebut bersetuju untuk dibawa pulang. 

“Mereka (rakyat Malaysia yang lain di Itali) diberi masa 48 jam lagi untuk menyatakan pendirian sama ada bersetuju dibawa pulang atau sebaliknya,” katanya kepada pemberita di Wisma Putra di sini, hari ini. 

Kamarudin berkata tempoh sebenar warga Malaysia boleh dibawa pulang ke Malaysia bergantung kepada rundingan antara kerajaan Malaysia dan pihak berkuasa Iran dan Itali. 

“Tiada apa yang muktamad dari segi teknikal buat masa ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Kedutaan Malaysia di kedua-dua negara berkenaan tidak akan ditutup.

Mengulas mengenai tidak semua rakyat Malaysia yang berdaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia di Itali akan pulang ke Malaysia, beliau berkata ini memandangkan ada antara mereka yang telah bermastautin di sana serta tidak berhasrat untuk meninggalkan negara berkenaan. 

Kamarudin berkata, Kementerian Luar, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan lain-lain agensi yang berkaitan sedang bekerjasama untuk melaksanakan repatriasi itu.


Katanya, kedutaan Malaysia di Iran dan Itali telah menubuhkan Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) bagi menyelaraskan usaha membawa pulang warganegara Malaysia dan bekerjasama dengan pihak berkuasa kedua-dua negara berkenaan bagi tujuan tersebut.

Ditanya sama ada kerajaan akan membawa pulang warga Malaysia dari Sepanyol dan Korea Selatan, Kamarudin berkata Kementerian Luar tidak menolak kemungkinan itu, selain memantau perkembangan COVID-19 di seluruh dunia. 

Beliau turut meminta rakyat Malaysia untuk menangguhkan perjalanan ke negara-negara yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19, termasuk Eropah.

“Rakyat Malaysia juga dinasihatkan untuk tidak menyertai sebarang perhimpunan atau acara berskala besar. Mereka juga dinasihatkan supaya sentiasa menjaga kebersihan diri bagi mencegah penularan pandemik COVID-19,” katanya. 

Pada Jumaat lepas, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan dalam proses untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang berada di Iran dan Itali, berikutan situasi penularan COVID-19 yang semakin teruk di dua negara berkenaan.

Sebelum ini, kerajaan melaksanakan dua misi membawa pulang rakyat Malaysia dari Wuhan, China pada  4 Februari dan 26 Februari lepas. 

Kategori