PN, BN, GPS Akan Meterai Gagasan Baharu

KUALA LUMPUR – Satu gagasan politik baharu akan dimeterai membabitkan tiga gabungan parti besar dalam kerajaan, iaitu Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata gagasan itu bakal menjulang wawasan dan aspirasi diperjuangkan parti politik bergabung di bawahnya. 

Oleh itu, katanya, satu Piagam Persefahaman Politik antara tiga gabungan parti besar itu perlu dibentuk.

“Dengan termeterainya piagam ini, rakyat akan lebih yakin bahawa gagasan itu mempunyai kestabilan politik kukuh serta keupayaan untuk terus mentadbir negara melalui dasar bagi memajukan ekonomi, membangunkan negara dan membela rakyat pada masa hadapan.

“Sebagai sebuah gagasan inklusif, semua pemimpin parti bergabung dalamnya harus diberikan ruang dan peluang sama untuk menyuarakan pendapat serta pandangan masing-masing,” katanya dalam satu hantaran di Facebook rasmi beliau, hari ini.

Ketika ini, BN memiliki 43 kerusi di Dewan Rakyat dengan pecahan UMNO (39), MCA (dua), MIC (satu) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (satu); PN mempunyai 49 kerusi dengan pecahan BERSATU (31) dan PAS (18); GPS mempunyai 18 kerusi menerusi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) (13), Parti Rakyat Sarawak (PRS) (dua), Parti Demokratik Progresif (PDP) (dua) dan Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) (satu) manakala Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) (satu) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) (satu) bagi menjadikan jumlah keseluruhan 112.

Kelmarin, BERSATU, PAS dan BN mencapai kata sepakat mengenai kemelut politik di Perak yang menyaksikan pelantikan Datuk Saarani Mohamad sebagai Menteri Besar Perak baharu selepas Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu meletak jawatan susulan kegagalan mendapat sokongan undi percaya di Dewan Undangan Negeri (DUN), Perak.

Kesepakatan itu juga bersetuju pelantikan Menteri Besar dan Ketua Menteri dalam kerajaan negeri atas persetujuan bersama, selain ketiga-tiga parti bersepakat memperkukuhkan lagi kerjasama antara parti dalam kerajaan PN di peringkat nasional demi kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat.

Hamzah berkata, penubuhan gagasan baharu itu untuk memastikan kelangsungan permuafakatan dalam kerajaan PN.

Katanya, bergerak ke hadapan, persefahaman politik ini harus dikekalkan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) supaya PN bukan hanya dapat terus memerintah sebagai kerajaan persekutuan, bahkan berjaya mengambil alih kerajaan negeri yang masih lagi diperintah pembangkang.

Beliau menjelaskan dengan mengambil kira kehendak semua parti tidak kira besar atau kecil, tidak kira mewakili mana-mana bangsa, kaum dan agama, gagasan itu nanti mampu melahirkan satu manifesto benar-benar memenuhi keperluan seluruh lapisan rakyat Malaysia.

“Saya yakin sekiranya semua pemimpin benar-benar ikhlas untuk menentukan masa hadapan negara lebih baik, insya-Allah tanah air ini akan menjadi sebuah negara kebanggaan rakyatnya dan disegani dunia,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Hamzah menjelaskan ketika pembentukan kerajaan PN di peringkat persekutuan, kedudukan kerajaan negeri juga diambil kira bagi memastikan wujud kesinambungan antara kepimpinan kedua-dua kerajaan.

Bagi tujuan itu, jelas beliau, kerjasama politik tidak dijalinkan atas dasar parti yang mempunyai bilangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terbesar semata-mata, sebaliknya atas dasar tolak ansur dan persetujuan bersama antara semua parti. 

“Dalam hal ini, pembahagian jawatan Ketua Menteri dan Menteri Besar perlu diputuskan secara konsensus bagi memelihara kerjasama politik kukuh dan utuh. 

“Ia juga dipengaruhi keperluan dan situasi politik semasa di negeri berkenaan.

“Contohnya di Perak, jawatan Menteri Besar dikekalkan menjadi milik BERSATU memandangkan jawatan itu telahpun dijawat wakil BERSATU sebelum pembentukan kerajaan PN.”

Sementara itu di Johor, kata Hamzah, jawatan Menteri Besar dipersetujui untuk diserahkan kepada UMNO walaupun pada asalnya jawatan itu milik BERSATU.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan negeri diketuai wakil daripada UMNO adalah sebanyak empat negeri termasuk di Melaka, Perlis dan Pahang. 

“Bagi PAS pula, persetujuan dicapai untuk wakil PAS mengetuai kerajaan di tiga negeri, iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah, manakala Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) yang mewakili GPS dipersetujui untuk kekal menerajui kepimpinan Sarawak. 

“Alhamdulillah, persefahaman politik ini terbukti dapat mengukuhkan kedudukan kepimpinan kerajaan PN dan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini, PN menguasai semula negeri itu dan dipersetujui wakil BERSATU menjawat jawatan Ketua Menteri,” katanya.

Hamzah berkata, PN lahir ketika negara menghadapi krisis politik dan perkauman yang semakin parah.

“Keperluan untuk membentuk sebuah kerajaan baharu tercetus akibat dari ketidakpuasan hati rakyat atas beberapa dasar dan tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Jangka masa 22 bulan di bawah PH, menyaksikan kegagalan parti itu menunaikan pelbagai janji manifesto, pertikaian mengenai hak istimewa orang Melayu, pengurusan ekonomi lemah dan pelbagai isu berkaitan kepentingan rakyat serta negara.” 

Ekoran itu, katanya, beberapa perbincangan awal diadakan dalam kalangan Ahli Parlimen mewakili parti politik berkongsi aspirasi sama untuk merangka strategi menyelamatkan negara dan mengambil alih kerajaan PH. 

Bagi memastikan segala perancangan ini dapat direalisasikan, beberapa Ahli Parlimen terpaksa berkorban dengan membuat beberapa keputusan penting termasuk menyertai parti baharu.

Beliau menjelaskan tidak timbul persoalan sama ada wujud pengkhianat atau duri dalam daging kepada mana-mana parti yang pernah mereka wakili kerana apa yang lebih penting adalah matlamat untuk menumbangkan PH dan menubuhkan kerajaan baharu tercapai. – BH Online