Pinda Tarikh Suntikan Vaksin COVID-19 Akan Dibincang

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan merangka kaedah terbaik bagi menguruskan sebarang kegagalan menepati tarikh temu janji untuk mengambil suntikan vaksin COVID-19.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin, mengakui segelintir penerima vaksin, sama ada fasa pertama, kedua dan ketiga berkemungkinan berdepan masalah untuk hadir pada tarikh temu janji ditetapkan.

Sehubungan itu, beliau yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, pihaknya sedang meneliti isu berkenaan secepat mungkin supaya tiada masalah berbangkit berkaitan penggiliran pemberian imunisasi. 

Semalam, Malaysia memulakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bagi memastikan penduduk negara ini, baik rakyat tempatan atau warga asing, dilindungi virus COVID-19 yang menjangkiti lebih 290,000 orang dan meragut lebih 1,000 nyawa.

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan itu bermula selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi individu pertama di negara ini menerima suntikan satu daripada dua dos vaksin Pfizer-BioNTech, di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), Presint 11, semalam, diikuti Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah serta beberapa kakitangan. – BH Online