ALAHAI… Jika ada rakyat Malaysia bangga dengan kebebasan bersuara di Amerika Syarikat (AS), berita sinis ini mungkin boleh jadi bukti konon kebebasan bersuara di negara kuasa besar dunia itu!
Stesen penyiaran terkemuka, Cable News Network (CNN) dilaporkan pecat wartawan dan pengulas politik, Marc Lamont Hill, susulan kenyataannya yang kutuk tindakan askar rejim Israel bertindak ganas ke atas warga Palestin.
Akhbar Washington Post melaporkan, ia berlaku apabila Hill yang juga profesor kajian media di Universiti Temple sewaktu berada di Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengejutkan banyak pihak, apabila gesa pembebasan Palestin.
Kenyataan berani beliau itu telah undang banyak kritikan keras daripada pihak konservatif pro-Yahudi selain ramai penyokong rejim Zionis, yang bertindak menyamakan Hill dengan ucapan kumpulan pejuang Palestin, Hamas.
“Hill tidak lagi berada di bawah kontrak CNN,” kata jurucakap syarikat penyiaran berkenaan, Barbara Levin. Stesen yang berpangkalan di Atlanta tersebut bagaimanapun tidak pula menyatakan lanjut apakah punca pemecatan Hill.
Semalam, Hill mengeluarkan penjelasan mengenai kenyataannya, bahawa dia menyokong kepada usaha kebebasan Palestin dan mengkritik amalan diskriminasi serta dasar pemerintahan Israel di wilayah duduki secara haram itu.
“Namun, saya tidak menyokong anti-Semitisme, tindakan bunuh orang Yahudi atau perkara lain yang berkaitan dengan ucapan saya. Saya telah menghabiskan hidup saya untuk melawan perkara-perkara ini,” kata beliau.
Untuk rekod, di AS sendiri ada ungkapan sindiran popular dalam industri media tempatan yang bebas tidak larang mana-mana pihak untuk kritik Tuhan tetapi amat dilarang keras kritik Israel. – Agensi/Mynewshub.TV

