Pencemaran Pasir Gudang, Jangan Sampai Berulang Lagi!

KUALA LUMPUR – Pasir Gudang kembali menjadi tumpuan apabila kejadian pencemaran industri berulang lagi selepas insiden serupa berlaku di Sungai Kim Kim pada Mac lalu.

Belum pun mereka yang terlibat dengan insiden pencemaran pertama, yang menjejaskan 6,000 penduduk Pasir Gudang, dibicarakan di mahkamah, berlaku pula insiden serupa tiga bulan kemudian – seolah-olah tiada yang mengambil iktibar daripada kejadian terdahulu.

Sehingga kini, belum diketahui punca sebenar puluhan mangsa kebanyakan pelajar sekolah sesak nafas, loya dan muntah dalam kejadian 20 Jun itu.

Justeru, pendekatan proaktif dengan kerjasama bersepadu antara semua pihak berkenaan perlu dipertingkatkan lagi untuk mengatasi masalah dan jenayah alam sekitar dengan lebih berkesan bagi mengelak berulangnya musibah itu.

IBARAT ‘BOM JANGKA’

Pensyarah Kanan Jabatan Pengurusan Alam Sekitar, Fakulti Pengajian Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Mohd Yusoff Ishak berkata insiden kedua di Pasir Gudang tidak mengejutkannya berikutan keadaan kawasan itu yang semakin padat dengan kilang-kilang, yang pastinya menggunakan bahan kimia yang berpotensi menyebabkan peningkatan pencemaran.

“Ia ibarat bom jangka yang boleh meletup pada bila-bila masa. Pencemaran sisa bahan kimia daripada kilang-kilang di Pasir Gudang bukannya baru berlaku…sudah lama. Kawasan perumahan pula semakin pesat berkembang di sana.

“Sekiranya tidak ada langkah drastik dan proaktif dilakukan segera seperti mewujudkan zon penampan dan mengetatkan had pelepasan sisa, insiden ini akan berulang dan berulang lagi,” katanya.

Kekangan logistik pihak penguatkuasa dan keupayaan teknikal pihak berkuasa seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam memastikan pemantauan menyeluruh ternyata menyukarkan tindakan pencegahan dalam mengesan identiti sebenar bahan cemar.

Beliau berkata, perkara itu diketahui apabila Kerajaan Negeri Johor mendapati sebanyak 38 kilang di Pasir Gudang gagal mematuhi prosedur Akta Kualiti Alam Sekitar 1974.

Menurutnya pihak berkuasa seperti JAS menggunakan pendekatan kawal selia kendiri namun, pengusaha industri dilihat ‘licik’ dalam membuktikan bahawa mereka tidak menguruskan pembuangan sisa kimia dengan cara salah.

“Selain itu, kerjasama antara agensi kerajaan yang berkaitan termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia masih kurang. Apabila bahan kimia itu tiba di pelabuhan, data terperinci tentang pembekal, pengedar serta pembeli bahan dan pengguna akhir bahan kimia tersebut sepetutnya dikongsi dengan pihak JAS bagi memudahkan pemantauan secara berterusan,” katanya.

DANA KHAS PENCEMARAN

Mohd Yusoff berkata kerajaan terpaksa membelanjakan sejumlah besar wang untuk membersihkan kawasan tercemar seperti yang berlaku di Sungai Kim Kim apabila peruntukan kecemasan sebanyak RM6.4 juta dikeluarkan Kerajaan Negeri Johor.

Ini tidak termasuk komitmen agensi kerajaan serta pihak lain seperti peralatan mengesan sisa kimia milik Angkatan Tentera Malaysia dan Petronas yang turut digerakkan ke lokasi bagi membantu proses pemulihan Sungai Kim Kim.

Beberapa syarikat swasta yang prihatin dengan isu itu turut menyumbang kepakaran dan logistik.

Sebagai langkah proaktif jangka panjang serta bagi mengurangkan beban kerajaan, beliau berkata dana khusus untuk tujuan pencegahan, pemuliharaan dan pembaikan kawasan yang terjejas akibat pencemaran perlu diwujudkan.

“Mekanisme yang biasa digunakan adalah melalui cukai perolehan serta penalti pencemaran yang dikenakan terhadap industri.

“Dana ini perlu disumbangkan sendiri pihak industri dan berfungsi sebagai tabung kecemasan serta bertindak sebagai platform urusan ganti rugi atau pampasan terhadap mangsa selain membiayai kos pemuliharaan serta pembaikan kawasan dan sungai yang terjejas,” katanya.

Selain itu, dana tersebut boleh diguna bagi membiayai kos latihan dan simulasi insiden pencemaran alam sekitar agar semua pihak di lokasi benar-benar memahami peranan masing-masing dalam masa bencana.

“Dengan mewajibkan pihak industri menyumbang kepada tabung itu, ia pastinya memberi kesedaran kepada mereka supaya lebih bertanggungjawab dalam menguruskan sisa yang dikeluarkan daripada kilang atau tempat mereka,” katanya.

TUBUH MAHKAMAH ALAM SEKITAR

Mohd Yusoff juga mencadangkan supaya disegerakan penubuhan Mahkamah Alam Sekitar, seperti yang dicadangkan empat tahun lepas, bagi membolehkan perbicaraan kes-kes berkaitan termasuk pencemaran.

Beliau berkata Sabah pernah melaksanakan mahkamah khas bagi kes alam sekitar, dan sepatutnya mahkamah sama ditubuhkan di peringkat Persekutuan.

“Bagi kes berkaitan alam sekitar terutama yang melibatkan bahan kimia, keutuhan bahan bukti sama ada di udara, dalam tanah atau dalam air mudah terjejas dalam masa yang singkat. Malah, ia mungkin hilang tanpa dapat dikesan seperti yang terjadi dalam insiden kedua di Pasir Gudang.

“Ini menyebabkan pembuktian sukar dilakukan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyarankan kerajaan supaya mempertingkat dana pembangunan dan penyelidikan (R&D) dalam bidang forensik alam sekitar dalam usaha memperkukuh siasatan di lokasi kejadian bagi mengenal pasti dengan pantas identiti bahan cemar.

Initipati R&D itu termasuklah mewujudkan pangkalan data kesemua bahan kimia yang digunakan pihak industri supaya mudah disuai padan dengan bahan cemar yang dilepaskan bagi memudahkan mengesan pihak yang bertanggungjawab sekiranya berlaku pencemaran.

“Mahkamah Alam Sekitar dengan sokongan kepakaran forensik alam sekitar boleh memudahkan proses menghadapkan mereka yang disyaki ke mahkamah pada kadar segara,” katanya sambil menyambut baik langkah kerajaan untuk memenempatkan stesen pemantau bahan cemar udara secara tetap di Pasir Gudang.

Menurutnya stesen pemantau bahan cemar itu perlu dilengkapi dengan kemudahan yang canggih dengan melibatkan pengawasan kesemua media yang boleh mengenal pasti bukan sahaja bahan tercemar di udara, tanah dan air tetapi juga menjurus kepada syarikat atau pencemar terlibat.

“Tiada gunanya stesen pemantau tetapi gagal mengesan siapa pelakunya,” kata beliau.

PEMANTAUAN BERTERUSAN

Pensyarah Kanan Pusat Sains Bumi & Alam Sekitar, Fakulti Sains Dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Mohd Shahrul Mohd Nadzir pula berkata pihak berkuasa perlulah sentiasa memantau status kualiti udara.

Beliau berkata dalam pengukuran udara, cara mengawal kualiti dan menjamin kualiti (QA & QC) dengan menggunakan peralatan saintifik adalah sangat penting.

“Kita mengamalkan budaya ‘plug and play’ tanpa memahami konsep peralatan tersebut. Sekiranya kita gagal mengamalkan QA &QC dengan baik, kita akan memberi bacaan yang salah dan kurang tepat,” jelasnya.

Kawalan kualiti penting bagi memastikan pengukuran bahan pencemar udara diukur dengan tepat seperti ujian kalibrasi dan penentuan tahap limitasi bagi sesuatu peralatan perlulah dilakukan dan bukan hanya sekadar membeli peralatan tersebut dan terus digunakan.

Selain peralatan, teknik persampelan juga penting bagi memastikan pengukuran dilakukan dengan baik kerana kesilapan manusia juga boleh mempengaruhi teknik persampelan, katanya.

“Merujuk kepada kejadian di Pasir Gudang, pihak berkuasa harus meneruskan langkah bagi memantau bahan cemar secara berterusan…bukan semua peralatan kualiti udara boleh mengukur semua bahan cemar.

“Oleh itu, sebelum melakukan ukuran, ‘kenal pasti bahan cemar yang dikesan’ daripada artikel-artikel saintifik dan bahan rujukan lain.

“Jika kita guna alat yang salah, kita akhirnya memberi maklumat yang salah,” tegasnya.

Loading...