Pelajar China Dinobat Juara Pidato PABM 2018

KUALA NERUS – Pelajar wanita dari China, Xu Yang dinobatkan sebagai juara Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2018 bagi kategori antarabangsa yang berlangsung di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini.

Pelajar Universiti Pengajian Bahasa Asing Guangdong, dalam jurusan bahasa Melayu itu mengetepikan dua peserta lain bagi kategori itu pada pertandingan peringkat akhir, malam ini.

Sementara peserta dari Malaysia, Muhammad Syahmi Akif Jamili daripada Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dinobatkan sebagai juara kategori Alam Melayu, khusus untuk lima buah negara ASEAN yang menggunakan bahasa Melayu sebagai lingua franca iaitu Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand dan Brunei.

Pertandingan kali ke-12 itu turut disaksikan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, yang kemudian menyampaikan hadiah kepada semua pemenang.

Pertandingan bertema “Pengantarabangsaan Bahasa Melayu” itu disertai 50 peserta dari 31 negara, namun hanya sembilan layak ke pertandingan akhir.

Tempat kedua kategori antarabangsa dimenangi Aurore Jeannot dari Perancis (Universiti Halu Oleo, Indonesia) manakala tempat ketiga pula milik Leon Woltermann dari Jerman (Universiti Hamburg, Jerman)

Bagi tempat kedua kategori Alam Melayu disandang Huda Ahmad dari Thailand (Universiti Islam Sheikh Daud Al-Fatani Yala, Selatan Thailand) manakala Adam Muhammad Taufiq Mohamad Suharto dari Malaysia (Universiti Teknologi Mara) di tempat ketiga.

Bagi kategori Pelajar Antarabangsa di Malaysia, Sajarah Mohd Ali dari Kemboja ( UniSZA) dinobat sebagai johan, Nafisa Mayukh dari Bangladesh (UIA) di tempat kedua dan ketiga ialah Mahad Mohamed dari United Kingdom (Universiti Malaysia Perlis).

Johan bagi setiap kategori menerima piala pusingan iaitu Piala Perdana Menteri, piala iringan, wang tunai RM10,000 hadiah iringan dan sijil.

Naib johan pula membawa pulang piala iringan dan RM8,000 manakala pemenang tempat ketiga menerima piala iringan dan RM5,000

Sementara itu, Maszlee, ketika berucap di majlis tersebut berkata bahasa Melayu mempunyai peranan yang besar dalam membentuk perpaduan rakyat di negara ini.

Beliau berkata mereka yang menyertai pertandingan itu juga merupakan duta kecil dalam memperkasa bahasa Melayu di negara masing-masing serta seluruh dunia.

Terdahulu, Maszlee berkata pembinaan Kerangka Standard Bahasa Melayu (KBSM) yang dibangunkan oleh pakar-pakar bahasa negara bakal menjadi pengikat kepada kesepakatan dan jati diri penutur dalam konteks budaya dan aspirasi bahasa.

“Kementerian Pendidikan akan menjadi peneraju utama dalam memastikan penghasilan kerangka itu dengan dibantu pakar dan agensi berkaitan.

“Ia amat penting bagi memastikan bahasa Melayu bersifat saintifik dan tekal serta menjadi rujukan utama dunia dan kelak ia akan menjadi salah satu bahasa rasmi di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya.

Turut hadir di majlis yang pertama kali berlangsung di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan di luar Lembah Klang itu, ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Dr Mohd Gazali Abas serta 2,000 pelajar. – BERNAMA