Orang Asli Kuala Koh: Mustahil Kelantan Tidak Tahu

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji berkata, mustahil kerajaan negeri Kelantan tidak mengetahui terdapat kawasan perlombongan bijih besi berhampiran penempatan penduduk Orang Asli suku kaum Batek di Kuala Koh, Gua Musang.

Beliau menyifatkan kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang menafikan perkara itu sebagai tidak masuk akal.

Beliau berkata, semakan yang dibuat pihaknya menunjukkan pelombong berkenaan memperoleh lesen untuk melombong sehingga tahun 2023.

“Sebelum sesebuah syarikat itu dibenarkan melombong di sesuatu kawasan, mereka perlu mendapatkan lesen melombong daripada kerajaan negeri dan lesen pengoperasian daripada kerajaan pusat, jika tidak mereka dikategorikan sebagai pelombong haram.

“Hasil semakan, kita mendapati syarikat berkenaan memperoleh lesen perlombongan sehingga 2023 tetapi lesen pengoperasian yang dikeluarkan oleh kerajaan pusat telah tamat pada 2017 disebabkan syarikat itu tidak mematuhi Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA).

“Jadi kenyataan itu (tiada kawasan perlombongan bijih besi) memang tidak masuk akal kerana saya sendiri telah turun padang dan mesin untuk menjalankan kerja-kerja berkenaan masih ada di kawasan itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Loading...