Nilai Seni Penanda Aras Tamadun Sesebuah Negara

KUALA LUMPUR — Tidak ada negara yang boleh mengaku sudah menjadi sebuah negara bertamadun tanpa ada nilai seni tersendiri, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kerana itu, apabila kita ingin capai Wawasan 2020 dan tambah pendapatan negara hingga beribu-ribu dolar, tapi tanpa seni tersendiri, maka kita tidak boleh dakwa sudah menjadi sebuah negara bertamadun,” katanya ketika berucap merasmikan sambutan ulang tahun ke-60 Balai Seni Negara malam ini.

Turut hadir isteri beliau, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Mohamaddin Ketapi selain tetamu kehormat dalam dan luar negara serta pemain industri seni dan pelancongan.

Perdana menteri berkata nilai ketamadunan sesebuah negara boleh ditambah baik dengan meningkatkan seni dan tahap seni dalam sesebuah komuniti.

Beliau memberikan contoh, di Malaysia, kepelbagaian kaum termasuk orang Asli dan suku lain telah menjelmakan pelbagai jenis seni yang memperlihatkan keindahan negara melalui hasil seni lukisan.

Perdana menteri berkata nilai seni adalah penting dan menjadi kayu pengukur ketinggian tamadun sesebuah negara dan ia harus diterjemahkan ke dalam bentuk lukisan untuk dihargai setiap rakyat.

“Ukiran, lukisan seni adalah satu daripada cara untuk menunjukkan kecantikan alam bukan sahaja di mata kita tapi di mata penggiat seni, pemain industri dan pengukir.

“Mereka boleh terjemahkan melalui lukisan dan kita harus berbangga dan gembira melihat kecantikan alam.

“Kita tidak boleh melihatnya dari mata kepala kita tapi mereka boleh. Inilah kebaikan ahli seni kepada komuniti kita kerana kadangkala kita lupa untuk menghargainya,” katanya.

Menyentuh mengenai pengukir seni tempatan, beliau berkata kumpulan ini harus dihargai dan dihormati kerana mempunyai bakat tersendiri walaupun berbeza dengan pengukir negara-negara lain.

Dalam pada itu, Dr Mahathir turut menyeru orang ramai supaya memberi sokongan kepada industri seni dengan membeli lukisan pengukir tempatan yang boleh dijadikan sebagai aset.

“Lagi lama simpan, lagi mahal dan tinggi nilainya berbanding simpan motor atau kereta,” katanya.

Dr Mahathir dan isteri kemudian melawat pameran yang disediakan penganjur selain diajak bergambar dan berswafoto oleh orang ramai yang memenuhi setiap ruang di galeri seni ini.

Sambutan ulang tahun ini dimeriahkan dengan deretan pameran dan aktiviti antaranya pembukaan Pameran ‘A Place Called Home’, Pameran ‘Teh Tarik With The Flag’, Pameran ‘Minta Perhatian’ selain penerbitan Majalah Informasi Seni ‘Senikini’, setem dan barangan ekslusif edisi terhad 60 tahun untuk orang ramai.

Selain itu, program karnival seni bertajuk Program Permukiman Rakyat Seni Art Bazaar 2018 akan berlangsung pada 7 hingga 9 Sept ini sebagai platform kepada usahawan seni memasarkan produk mereka secara terus kepada khalayak ramai.

Balai Seni Negara ditubuhkan pada 27 Ogos 1958 oleh Perdana Menteri pertama Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. — BERNAMA

Loading...