Najib Saran PH Mandi Air Terjun Kalau ‘Panas’

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak secara sinis menyaran PH supaya mandi air terjun di Semenyih andai ‘panas’ dengan kehadirannya sempena PRK DUN berkenaan.

Najib menegaskan, sekiranya PH ‘panas’ sekalipun, beliau tidak wajar diserang dalam kempen PRK Semenyih memandangkan dirinya bukan calon.

“Saya bukan calon di Semenyih. Saya juga bukan presiden UMNO atau BN. Buat apa nak serang saya? Saya cuma pergi ke Semenyih untuk beli sedikit barang di Tesco dan sekali-sekala ke sana untuk cuba mikrofon.

“Itupun PH mahu panas tiap-tiap hari. Kalau panas sangat, Semenyih ada air terjun. Mandi air sungai, sejukkan badan,” katanya dalam entry terbaharu Facebooknya, hari ini.

Najib juga memerli PH di mana dalam manifesto PH sempena PRU14 lalu tidak mengemukakan janji menyerang dirinya dalam tempoh lima tahun memerintah.

“Pagi ini saya baca balik Manifesto PH untuk PRU14. Cari punya cari, saya tak nampak pun antara janji-janji yang ditabur mereka termasuk janji untuk menyerang saya tiap-tiap hari selama 5 tahun,” katanya.

Kehadiran Najib sempena PRK Semenyih disambut baik penduduk tempatan di sana sehingga tidak disenangi oleh pemimpin PH.

Najib yang kini menjadi fenomena di Facebook antara penyebab kemenangan BN dalam PRK Cameron Highlands sebelum ini. – Sinar Harian

Loading...