Muit Ahmad: Menyamar Untuk Bunuh Musuh

Oleh: Datuk Akmar Hisham Mokhles

NAMA bekas Staf Sarjan Muit Ahmad, tidaklah begitu asing di kalangan anggota Gerup Gerak Khas (GGK) terutama generasi awal pasukan itu.

Ini kerana namanya sering menjadi sebutan manakala semangat keperwiraannya kerap menjadi inspirasi kepada komando baru dalam pasukan itu.

Walaupun, ketika menjadi anggota Rejimen Gerak Khas Malaysia (RGKM) dahulu, masanya lebih banyak dihabiskan sebagai anggota tumpangan di Rejimen Khas Perisikan Tempur (RKPT), namun kehebatannya menewaskan musuh dalam operasi tetap mengharumkan nama pasukan tersebut.

Apatah lagi, beliau pernah terlibat dalam tiga pertempuran iaitu dengan Pasukan Gerila Rakyat Sarawak (PGRS) pada tahun 1973, Parti Komunis Malaya (PKM) di Kampung Karak Setia, Karak pada 9 Disember 1974 dan di Sungai Chetang, Raub, Pahang pada tahun 1976.

Namun, operasi yang begitu sinonim dengan namanya ialah kejayaan membunuh musuh di Sungai Chetang.

Operasi itu bermula dengan penyamaran Muit dengan empat anggota RKPT yang lain sebagai juru ukur selepas menerima maklumat daripada anggota polis Cawangan Khas (SB) bahawa musuh disyaki berada di sekitar Sungai Chetang.

“Hasil dari tinjauan tersebut saya mengesyaki ada kegiatan pengganas di situ dan mengesyorkan kepada pihak SB agar menangkap seorang penoreh getah berbangsa Cina yang tinggal bersendirian di sebuah rumah,’’ katanya yang menyertai RGKM pada 21 September 1971 selepas enam tahun berkhidmat dalam Rejimen Renjer Diraja.

Selepas ditangkap dan disoal-siasat, lelaki itu mengaku bahawa dia ada menolong musuh. Memandangkan dia sedia bekerjasama, maka lelaki itu telah dijadikan umpan untuk menarik pengganas keluar dari tempat persembunyian mereka.

Untuk mengelakkan musuh tahu strategi itu, penoreh getah yang menjadi tali-barut pengganas tersebut telah diarah menyediakan segala keperluan yang diminta pengganas komunis seperti biasa.

Selepas dua tiga kali permintaan itu dipenuhi, barulah pasukan Muit yang diketuai oleh Kapten Ahmad Rashit bersedia untuk melakukan serang hendap ke atas musuh di bawah Ops Murai.

Namun, misi khas itu bukanlah untuk membunuh sebaliknya menangkap pengganas komunis terbabit di rumah lelaki berkenaan.

Turut serta dalam operasi itu ialah Koperal Ghazalie, Lans Koperal Abdul Kadir, Lans Koperal Kamarul Ariffin dan seorang bekas pengganas komunis yang telah menyerah diri dan berperanan sebagai ejen kerajaan. Seperti dirancang, kira-kira pukul 2 pagi 4 Ogos 1976, mereka tiba di tepi jalan raya Bentong-Raub tidak jauh dari rumah penoreh tersebut.

Dalam kegelapan awal pagi itu, mereka melalui kawasan kebun getah menuju ke rumah penoreh terbabit yang jaraknya kira-kira 1 kilometer dari jalan raya dengan berhati-hati.

Harapan mereka, pergerakan dalam kegelapan akan dapat memelihara kerahsiaan operasi tersebut supaya ia tidak gagal.

“Kami diberitahu, musuh akan mengambil bekalan makanan di rumah penoreh tersebut pada sebelah tengah hari itu. Jadi dengan pergi awal, banyak persediaan yang boleh kami lakukan,’’ katanya.

Oleh kerana yakin, operasi tersebut dapat diselesaikan pada hari itu juga, maka mereka tidak membawa bekalan yang banyak. Sebaliknya, mereka hanya membawa sedikit ketupat dan rendang sebagai pengalas perut.

Sebaik tiba, mereka terus membuat persiapan yang perlu termasuk meninjau bahagian rumah yang boleh menjadi tempat persembunyian menjelang kemunculan musuh.

Selepas Ahmad membuat perkiraan keadaan dan mengatur kedudukan, mereka mula menanti kemunculan musuh dengan penuh debar.

Apabila mentari semakin tinggi, debaran mereka semakin memuncak hinggalah menjelang tengah hari.

Namun, selepas beberapa ketika musuh tidak juga muncul dan ini sedikit sebanyak mula meresahkan mereka termasuk Muit sendiri.

Mereka juga bimbang kalau-kalau kehadiran mereka telah dihidu musuh seterusnya akan menyebabkan mereka pulang dalam keadaan hampa.

Terlintas juga di fikiran, kemungkinan penoreh getah yang menjadi umpan mereka telah membocorkan rancangan tersebut kepada musuh.

Semakin Resah

Dan resah mereka berlarutan hingga ke malam, apabila musuh tidak juga muncul. Memburukkan keadaan ialah mereka tidak membawa bekalan makanan tambahan dan bekalan yang ada hanya boleh digunakan pada hari itu sahaja.

“Semasa menunggu itu, rasa gelisah sentiasa ada. Takut musuh muncul dalam keadaan kami tidak bersedia. Disebabkan itu jugalah kami sukar untuk tidur walaupun sekejap,’’ katanya.

Malah selepas dua hari musuh tidak muncul, Ahmad telah menghubungi Markas Briged Keempat Infantri untuk meminta kebenaran balik ke pasukan dan menangguhkan operasi. Namun, perhubungan itu tidak berjaya dan menyebabkan mereka terpaksa menyambung penantian di rumah tersebut.

Hinggalah pada kira-kira pukul 12.30 tengah hari Jumaat 6 Ogos 1976, apabila lelaki yang dijadikan umpan tersebut datang mengetuk pintu bilik tempat persembunyian Muit dan tiga rakannya yang lain.

Dia kemudiannya memberitahu Muit bahawa dua orang pengganas sedang dalam perjalanan menuju ke situ. Mendengar itu, Muit lantas mengetuk dinding bilik ketuanya dan memberitahunya agar bersedia.

“Saya tak sangka beliau boleh tersalah anggap isyarat saya dan menyangka yang akan datang ialah orang awam biasa yang datang untuk mencari durian kerana kebetulan ketika itu musim durian,’’ ujar beliau.

Menurut Muit, tidak lama selepas itu, beliau mendapati dua orang pengganas telah berada di depan rumah dan penoreh tersebut terus mengajaknya masuk untuk mengambil barangan yang dipesan mereka.

Pada masa yang sama, salah seorang pengganas bertanya kepadanya dalam bahasa Cina sama ada wang yang diberikan cukup atau tidak.

Lelaki tersebut memberitahu ia masih berbaki RM1.30 sambil meminta kedua-dua mereka menunggunya di meja sambil dia mengambil wang tersebut.

Sebaik sahaja pengganas itu memasuki bilik, saya terus mengacukan senjata M-16 yang telah siap dicekah ke arahnya. Kemudian saya menyergah: ‘lu jangan lari, angkat tangan!’.

Ketika berjalan menuju ke bilik tidurnya untuk mengambil wang tersebut, dia telah diekori oleh salah seorang pengganas. Kebetulan Muit berada di dalam bilik tidur itu dan apabila mendengar sahaja pergerakan mereka berdua ke arahnya, beliau lantas bersedia di sebalik pintu.

“Sebaik sahaja pengganas itu memasuki bilik, saya terus mengacukan senjata M-16 yang telah siap dicekah ke arahnya.

“Kemudian saya menyergah: `lu jangan lari, angkat tangan!’,’’ kata Muit.

Mungkin terperanjat dengan tindakan tersebut, tanpa diduga pengganas terbabit terus merentap muncung senjata Muit ke bawah dan seterusnya berlakulah pergelutan. Memandangkan musuh tidak mematuhi arahannya di samping tidak mempunyai pilihan lain, Muit akhirnya terpaksa melepas satu tembakan semburan dari jarak dekat sebaik sahaja musuh berjaya dijatuhkan.

“Saya lihat dia rebah dan menemui ajal di situ juga,’’ katanya.

Serentak dengan itu juga, ketuanya, Ahmad, yang pernah beberapa kali bertempur sebelum itu dan dianugerah pingat Panglima Gagah Berani (PGB) pada tahun 1975 turut bertindak.

Selepas menendang pintu bilik persembunyiannya, beliau terusmelepaskan tembakan ke arah seorang lagi pengganas yang berada dekat pintu dapur.

“Tembakan Ahmad telah mengenai kaki musuh manakala tembakan saya yang menyusur beberapa saat selepas itu tepat mengenai kepala musuh dan berjaya membunuhnya,’’ kata Muit.

Pemeriksaan ke atas mayat kedua-dua musuh yang dilakukan selepas itu mendapati, setiap mereka memiliki sepucuk pistol yang diselitkan di pinggang masing-masing.

“Walaupun senjata tersebut dalam keadaan berbungkus tetapi ia telah siap dicekah. Maknanya, ia boleh digunakan pada bila-bila masa sahaja,’’ katanya sambil memberitahu mayat-mayat itu serta penoreh getah yang membantu mereka kemudiannya di bawa ke kem tentera di Bentong sebelum diserahkan kepada SB.

Ekoran kejayaan itu, anak kelahiran Kampung Pulau, Durian Tunggal Melaka ini telah dianugerahkan pingat PGB oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Yahya Petra Ibni Almarhum Sultan Ibrahim pada Julai 1976.

Pada tahun 1979, Muit meninggalkan RKPT dan ditukar ke Pusat Latihan Peperangan Khas (PLPK) sebagai jurulatih Kursus Asas Komando dan pada tahun 7 Oktober 1986 beliau bersara daripada tentera dengan pasukan terakhirnya ialah Rejimen 22 Komando di Kuala Kubu Bharu. – MYNEWSHUB.CC

*Petikan dari buku ‘Demi Negara’ tulisan Datuk Akmar Hisham Mokhles (gambar). Beliau juga adalah Setiausaha Akhbar Perdana Menteri.