Muhyiddin Tiba Di Istana Negara, Angkat Sumpah PM Ke-8

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin sebentar tadi tiba di Istana Negara bagi Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Perdana Menteri kelapan.

Kenderaan membawa Ahli Parlimen Pagoh itu memasuki pintu istana pada jam 9.50 pagi.

Istiadat berkenaan dijadualkan akan berlangsung di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, pada jam 10.30 pagi ini.

Istana Negara semalam dalam satu kenyataan memaklumkan, Yang di-Pertuan Agong berkenan melantik Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kelapan.

Pelantikan Muhyiddin, 73, yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sebagai Perdana Menteri dibuat selaras Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata Istana Negara semalam menerima senarai pencalonan nama-nama bakal Perdana Menteri daripada ketua-ketua parti politik yang mempunyai wakil dalam Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Rakyat yang bebas.

Katanya, selepas mendapat representasi semua, pada hemat Yang di-Pertuan Agong, Ahli Dewan Rakyat yang mungkin mendapat kepercayaan majoriti ialah Muhyiddin.

Kemelut politik negara termasuk berhubung jawatan Perdana Menteri yang baharu tercetus apabila Tun Dr. Mahathir Mohamad, meletakkan jawatannya pada 24 Februari lalu. – BH Online

Loading...