Maznan Mat Isa: Menakluk Kutub Utara

Oleh: Datuk Akmar Hisham Mokhles

RAMAI yang masih ingat mengenai kejayaan Ekspedisi Terjun Bebas Kutub Utara Malaysia (ETBKUM) yang menjadikan Malaysia sebagai negara pertama di Asia menakluk Kutub Utara, kawasan paling sejuk di dunia pada pukul 1.48 pagi 21 April 1998 (waktu Malaysia).

Kejayaan itu cukup bermakna kepada negara kerana ia berjaya membuktikan semangat kental dan keupayaan anak-anak watan menawan kawasan yang mempunyai suhu melampau dan boleh membunuh makhluk bernyawa termasuk manusia.

Tambahan pula, masyarakat dunia mengetahui bahawa bukan mudah untuk menawan kutub ini, apatah lagi menerusi penerjuanan dari udara.

Ini kerana Kutub Utara merupakan kawasan yang diliputi salji lembut seluas 1,600 kilometer persegi dengan ketebalan dua meter tanpa sebarang kehidupan.

Selain itu, ia turut mempunyai taburan rabung ais yang membentuk tembok-tembok setinggi dua hingga tiga meter serta memiliki kedalaman air di bawah kepingan ais mencecah sehingga 4,200 meter.

Lantaran kesukaran semulajadi yang terdapat di situ, maka tidak hairanlah jika sehingga sekarang tidak lebih 2,000 orang berjaya menaklukinya, sejak Laksamana Robert Peary dengan dibantu rakannya Matthew Hanson serta empat orang dari kaum Inuit menjadi manusia pertama menjejakkan kaki ke kutub tersebut pada 6 April 1909.

Kini kejayaan tersebut telah enam tahun berlalu. Walaupun begitu, kejayaan itu terus menjadi kenangan manis kepada 23 peserta ekspedisi berkenaan.

Begitu juga dengan Ketua Sarjan Mejar Jurulatih Cawangan Muslihat Khas, Pusat Latihan Peperangan Khusus (Pulpak), Pegawai Waran II Maznan Mat Isa, 38, yang dikala itu berpangkat Sarjan.

Menceritakan kembali pembabitannya dalam ekspedisi kebanggaan negara itu, anak Kampung Changkat Berangan, Lenggong, Perak ini berkata, pemilihan beliau dibuat oleh Markas 21 Gerup Gerak Khas (GGK) pada awal tahun 1998.

Menurutnya, seorang lagi warga GGK yang turut terpilih bersamanya ialah Leftenan Ahmed Abdul Rahman dan mereka dipertanggungjawabkan untuk memastikan ekspedisi tersebut berjaya di samping memelihara nama baik pasukan komando GGK.

“Masa itu, saya telah lakukan lebih dari 80 kali penerjunan bebas termasuk pada ketinggian 11,000 kaki. Mungkin kerana pegawai atasan yakin pada kebolehan saya, maka saya dipilih,’’ ujarnya yang menyertai tentera pada 27 Februari 1986.

Selepas ditawarkan secara rasmi menyertai ETBKUM, bekas pelajar Sekolah Menengah Datuk Ahmad, Lenggong ini telah mengikuti latihan selama dua bulan yang sebahagiannya berlangsung di ibu negara bersama anggota ekspedisi yang lain.

Pada 3 April 1998, mereka berlepas ke Moscow, Rusia untuk latihan penyesuaian sebelum melakukan penerjunan pada 18 April.

Ia bagi membolehkan semua penerjun termasuk Maznan menyesuikan diri dengan cuaca sejuk di sana.

“Sepanjang di Moscow kami melakukan latihan penerjunan di Volosovo kira-kira 16 kilometer dari Moscow.

“Waktu itu, kami sempat melakukan kira-kira 20 kali penerjunan latihan,’’ jelasnya.

Sukar Imbangi Badan

Selepas memantapkan diri dengan latihan di sana, mereka meneruskan pula latihan di Khatanga iaitu kawasan yang paling hampir dengan Kutub Utara.

Bagaimanapun, hasrat mereka untuk melakukan penerjunan pada pukul 2.30 petang hari itu tidak kesampaian apabila ribut salji dan angin kencang melanda Kutub Utara.

Ekoran penangguhan penerjunan, menyebabkan mereka terpaksa kembali lagi ke Khatanga seterusnya mencari waktu yang lebih sesuai dan selamat bagi melakukan penerjunan.

Akhirnya, selepas perbincangan mereka menjadualkan tarikh baru penerjunan pada 21 April dengan andaian cuaca akan lebih baik pada hari tersebut.

Congakan mereka nyata tidak meleset apabila didapati ribut salji dan angin kencang telah reda pada hari Selasa itu. Kesempatan itu digunakan oleh mereka untuk melakukan penerjunan.

Untuk tugas itu, kumpulan ekspedisi yang diketuai oleh Datuk Abdul Rahim Dahalan telah membuat penerjunan dari dua buah pesawat iaitu helikopter M-18 dan kapal terbang Ilyushen dari ketinggian hampir 3,000 kaki dengan suhu 41 darjah selsius di bawah paras beku di kawasan pendaratan di Kutub Utara.

Peserta pertama yang keluar dari perut pesawat itu ialah Leftenan Ahmad Ramli diikuti yang lain-lain termasuk Maznan sendiri.

Ketika keluar dari perut kapal terbang Ilyushen, kelajuan pesawat adalah 220 knot berbeza dengan latihan yang mereka ikuti di Malaysia yang biasanya sekitar 120 knot.

Keadaan ini menyebabkan Maznan, mengalami kesukaran mengimbangkan badan di udara.

“Disebabkan itu, saya kena bergerak pantas untuk mengimbangi semula badan.

“Ada ketikanya saya jadi keliru kerana segala-galanya nampak putih, baik di langit mahupun di bumi,” katanya yang kini telah melakukan 150 penerjunan bebas.

Biarpun begitu, pengalaman mengajar Maznan agar tidak mudah panik dan akhirnya beliau dapat mengimbangkan badan.

Selepas membuka payung, beliau dapat menyaksikan rakan-rakan lain terbang dengan tenang di udara dan ini membolehkan mereka mengesan zon pendaratan yang ditetapkan dengan mudah.

Pada masa yang sama, para penerjun turut melakukan terjunan formasi lima payung, sekali gus berjaya mencatat rekod baru di kalangan penerjun dunia selepas formasi yang sama gagal dilakukan oleh mana-mana penerjun sejak tujuh tahun sebelum itu.

Ada ketikanya saya jadi keliru kerana segala-galanya nampak putih, baik di langit mahupun di bumi.

Mendaratkan Kereta Proton

Selepas berjaya mendarat dengan selamat setelah terawang-awang di udara selama empat ke lima minit, Maznan dan yang lain-lainnya menyaksikan pula kejayaan ekspedisi itu mendaratkan sebuah kereta Proton Wira 1.5 di Kutub Utara.

Walaupun enjin kenderaan itu berjaya dihidupkan kemudiannya, namun ia tidak boleh dipandu kerana salji yang terlalu tebal di samping ribut yang mula melanda.

Meskipun sedikit kecewa, namun kegembiraan kembali menyelubungi para penerjun selepas menyaksikan Jalur Gemilang dipacakkan secara rasmi di atas permukaan salji sebagai simbolik bahawa kawasan paling sejuk di dunia itu telah ditakluk oleh rakyat Malaysia.

Menurut Maznan, ekoran cuaca buruk yang melanda, telah menyebabkan mereka terpaksa bergegas meninggalkan Kutub Utara pada pukul 4 petang menuju ke Khatanga selepas melakukan solat sunat dan sujud syukur.

“Biarpun hanya berada dua jam di Kutub Utara, namun itulah memori paling manis dalam hidup saya,” kata Maznan.

Sesuatu yang menarik tentang ekspedisi tersebut katanya, ialah ia telah mambakar semangat beliau agar terus terlibat aktif dalam kegiatan payung terjun.

Di samping itu, ia turut menyebabkan Maznan sering berangan untuk melakukan penerjunan di kawasan yang lebih mencabar dan sukar selepas ini.

“Jika ada pihak mahu melakukan ekspedisi yang lebih mencabar saya bersedia menyahut cabaran. Tak kira di mana sahaja.

“Sebagai komando, kami diajar supaya sentiasa berani berhadapan dengan cabaran walau di mana sahaja,” katanya yang turut mempunyai impian untuk terjun di Kutub Selatan suatu hari nanti jika berpeluang.

Selain Maznan, turut serta dalam ekspedisi membabitkan seramai 16 penerjun itu ialah seorang penerjun wanita iaitu Nordziah Mohd. Noor, ibu kepada lima anak di samping Mohd Shamsul Mohamed Amin sebagai peserta termuda iaitu berusia 21 tahun.

Kejayaan yang amat membanggakan ini merupakn sejarah gemilang kedua negara selepas ekspedisi menawan puncak Gunung Everest setinggi 8,848 meter pada 23 Mei 1997. – MYNEWSHUB.CC

*Petikan dari buku ‘Demi Negara’ tulisan Datuk Akmar Hisham Mokhles (gambar). Beliau juga adalah Setiausaha Akhbar Perdana Menteri.