Mama Juwie: BFF Diva Berhati Mulia

(25 April genap 2 tahun Juwie kembali ke Ramatullah)

TAHUN 1987, kali pertama melihat Mama Juwie; berkaca mata hitam dan melepak dengan kawan-kawannya di Trivoli, Jalan TAR. Juwie berdiri dan rancak berbual; bersandar pada pintu Mazda Familia merah sporty.

Era itu, kereta model impian. Ia mewakili imej ranggi warga kota.

Juwie sudah top waktu itu; sebagai wartawan hiburan dan penulis lirik.

Lima tahun kemudian, bertemu lagi sebagai rakan kerja di Utusan Malaysia. Juwie waktu itu sudah dianggap lejen hidup kerana lirik-lirik lagunya meletup. Hampir semua artis popular menyanyikan kata-kata indahnya.

Juwie ada dalam lagu Alleycats, Ramlah Ram, Jamal Abdillah, Siti Fairuz, Nasir Wahab dan Shidee. Malah, band metal rock macam May pun menerima lirik melankolik Juwie.

1994, Juwie jadi kawan sepejabat. 1995, meja kerja pula bersebelahan dengan Juwie dan sempat setahun berjiran kerusi. 1996, Juwie berpindah tempat kerana memulakan Majalah Mangga yang mencanak popular sebagai Majalah Hiburan Nombor Satu.

Semua yang dicapai Juwie ada dalam Google.

Yang tidak dinyatakan hanya kisah Juwie yang rajin bersolat. Walaupun sentiasa mengenakan mekap dan gincu, Juwie tidak meninggalkan solat.

Juwie soft spoken dan out spoken. Suaranya lembut tetapi pada masa yang sama dia bersikap terbuka. Kali pertama ketika saya mengkritik filem Pemburu Bayang arahan Yusof Haslam sebagai sampah, dia nampak sangat kurang senang.

Mama Juwie: BFF Diva Berhati Mulia

“Orang kerja kuat, keluarkan duit. Jangan nayakan orang. Kritiklah teruk-teruk lepas filem dah habis tayang. Kalau kita kutuk selepas preview, nayalah penerbit,” katanya.

Saya diam dan menerima logik tegurannya. Kos filem RM1 juta sangat besar risikonya kepada penerbit. Ia bukan wang geran atau tajaan. Penerbit berhutang dengan bank. Satu filem rugi, penerbit mungkin gulung tikar.

Kami berjiran kerusi. Antara meja Mingguan Malaysia yang menguasai sisipan Pancaindera dan tugas Juwie sebagai editor segmen Remaja. Jadi selalu sangat kerap berbual.

Apabila Yusuf Haslam menerbitkan filem Sembilu, saya menulis selepas preview sebagai: “Ini filem Box Office RM5 juta pertama di negara ini.” Juwie sangat suka sekali.

Selama berjiran, Juwie menumpangkan beberapa rakan bersolat Jumaat dengan keretanya. Dia tidak pernah malu singgah di rumah bujang kami di flat kecil Blok 12, Sri Pulau Pinang, Cheras. Selamba dia melalui kawasan petempatan rakyat marhain dan tersenyum pada setiap orang yang menegurnya.

Di rumah bujang, Juwie akan mencuci mekap dan mengenakan songkok. Kami berehat dan makan-makan sebelum berjalan kaki ke Masjid Zubair Ibnu Awwam menunaikan solat Jumaat.

Tahun pertama kerja dengan gaji RM755 dan elaun tetap RM250, bukanlah mudah mengatur belanja. Jadi, akan ada masa kesempitan. Sebab Juwie berjiran, tidaklah malu hendak meminjam wang. Selalunya RM50.

Mama Juwie: BFF Diva Berhati Mulia

Sembilan bulan kerja Utusan Malaysia, datang jodoh berkahwin. Menyewa rumah sendiri RM300 sebulan. Bayar kereta RM309 sebulan. Semua itu satu survival pada waktu itu.

Baiknya Juwie ini sukar digambarkan. Ada sekali sangat kesempitan, isteri pula hamil. Jadi dengan serba-salah kenalah bersuara. “Mama… boleh pinjam RM50?”

Juwie jenis baik hati. Apabila kita nak bayar, dia akan kata: “Tak payahlah… belanja duit bawa isteri pergi makan….”

Ada sekali ketika anak dah satu, datang lagi kesempitan wang. Jadi, sekali lagi jumpa Juwie. Apabila hendak bayar, Juwie senyum dan tepuk bahu sambil berkata: “Tak payahlah. Mama belanja anak….”

Juwie masyhur apabila Majalah Mangga meletup. Lirik-liriknya juga meletup. Dia Diva Dunia Hiburan.

Namun dalam kehidupan sebenar, dia baik hati, pemurah. Paling hebat, dia kuat bersolat.

Dua puluh tahun selepas semua kenangan menjadi jiran sekerja, masing-masing membawa haluan. Juwie kerap ulang-alik ke Makkah.

Hinggalah selepas agak lama meninggalkan dunia wartawan hiburan, ada khabar mengatakan Juwie sakit.
Juwie menghembuskan nafas terakhir pada 3 April 2015 akibat kanser prostat.

Al Fatihah. Mama Juwie, anda memang Diva. Tetapi yang lebih benar: Anda seorang manusia yang mulia.

Moga Allah Merahmati rohnya bersama roh para solehin.

Loading...