Lebih 60 Peratus Orang Dewasa Terima Vaksin Lengkap

KUALA LUMPUR – Seramai 19,784,628 atau 60.6 peratus populasi keseluruhan di negara ini menerima vaksinasi lengkap COVID-19 dan seramai 23,007,292 atau 70.5 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) berkata, sebanyak 84.4 peratus populasi dewasa menerima vaksinasi lengkap dan 93.8 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Jelas JKJAV, ini menjadikan jumlah kumulatif pemberian dos termasuk dos tunggal dan dos lengkap di negara ini adalah sebanyak 42,699,197.

Katanya, Lembah Klang mencatatkan peratusan tertinggi bagi populasi keseluruhan yang lengkap divaksin iaitu sebanyak 80.4 peratus atau seramai 6,771,183.

“Ia diikuti Negeri Sembilan sebanyak 69.7 (786,829), Wilayah Persekutuan Labuan 67.7 peratus (67,414) dan Perlis sebanyak 63.8 peratus (162,627).

“Tiga negeri mencatatkan peratusan populasi keseluruhan yang menerima dos lengkap paling rendah ialah Pahang iaitu 49.6 peratus (832,218), Kelantan sekitar 43.8 peratus (835,407) dan Sabah paras 41.8 peratus (1,634,082),” kata JKJAV, hari ini.

Semalam, sebanyak 323,335 dos vaksin diberikan di seluruh negara dan daripada jumlah itu, sebanyak 172,388 adalah dos pertama daripada 150,947 adalah dua dos lengkap.

Majlis Pemulihan Negara (MPN) turut mencadangkan kebenaran merentas negeri pada pertengahan bulan depan, jika kadar pelalian terhadap COVID-19 mencapai 90 peratus penduduk dewasa.

Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata perkara itu sedang diperhalusi oleh menteri terbabit untuk dibincangkan lagi minggu ini, termasuk membuka semula sempadan negara, yang ditutup sejak Mac tahun lalu.

JKJAV menjelaskan, Johor mencatatkan 20,995 pemberian dos pertama dan 27,736 dos lengkap, diikuti Selangor dengan 23,089 pemberian dos pertama dan 9,183 dos lengkap manakala Kelantan sebanyak 15,504 dos pertama serta 13,135 dos lengkap.

Sementara itu, JKJAV berkata, semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) AstraZeneca di Lembah Klang akan ditutup pada 3 Oktober ini.

“Sehubungan itu, penerima vaksin berkenaan yang terlepas dos kedua dikehendaki ‘walk-in’ sebelum tarikh berkenaan ke PPV dos pertama untuk mendapatkan suntikan dos kedua,” katanya.

PPV berkenaan adalah PPVAZ World Trade Centre (WTC) Kuala Lumpur, PPVAZ Universiti Malaya Kuala Lumpur, PPVAZ Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi, PPVAZ Ideal Convention Centre (IDCC) Shah Alam. – BH Online

Leave a Reply