Lebih 45,000 Terima Bantuan Musim Tengkujuh Di Kedah

ALOR SETAR – Bantuan Musim Tengkujuh sebanyak RM600 seorang yang diumumkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng semalam bakal memanfaatkan 45,297 pekebun kecil yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Getah (RISDA) di negeri ini.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata bayaran bantuan yang akan dibuat dalam dua peringkat itu dapat meringankan beban sara hidup pekebun kecil getah di negeri tersebut berikutan pendapatan mereka terjejas semasa musim tengkujuh.

“Kerajaan negeri Kedah merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada kerajaan persekutuan, khususnya kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kerana meluluskan Bantuan Musim Tengkujuh kepada pekebun kecil RISDA,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Lim mengumumkan bahawa kerajaan memperuntukkan RM164,783,400 sebagai bantuan kepada 274,639 pekebun kecil getah RISDA yang akan dibayar dalam dua peringkat iaitu RM300 pada penghujung tahun ini dan baki RM300 lagi pada awal tahun depan.

Selain itu, Mukhriz berkata kerajaan negeri turut menyambut baik keputusan kerajaan yang akan menaikkan harga lantai getah sekerap daripada RM2.20 kepada RM2.50 mulai Januari depan seperti yang diumumkan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Amiruddin Hamzah, semalam.

Katanya pengumuman itu bersama dengan Bantuan Musim Tengkujuh sangat besar maknanya kepada pekebun kecil getah yang sekian lama bergelut untuk menyara keluarga dengan pendapatan yang tidak mencukupi kerana harga getah yang rendah.

“Kerajaan negeri menghargai perhatian dan keprihatinan kerajaan persekutuan terhadap kesukaran yang dihadapi oleh para penoreh getah. Sesungguhnya kerajaan Pakatan Harapan sentiasa mendengar rintihan rakyat dan akan membantu dalam apa cara yang termampu,” katanya. – BERNAMA

Loading...