Kumpulan Azmin Jumpa Mahathir

BEBERAPA pemimpin dari ‘kumpulan’ Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tiba di Yayasan Al Bukhary di Kuala Lumpur, pagi ini.

Mereka tiba yayasan untuk menghadiri mesyuarat bersama Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr. Mahathir Mohamad jam 10 pagi.

Antara yang dilihat masuk ke perkarangan yayasan ialah Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Rashid Hasnon dan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamaruddin Jaffar.

Selain itu, kenderaan yang dipercayai membawa Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin tiba secara berasingan.

Dalam pada itu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalannya Datuk Seri Mukhriz Mahathir juga hadir dalam mesyuarat itu.

Mesyuarat pagi ini dipercayai membincangkan kemelut politik negara termasuk calon Perdana Menteri kelapan.

Dr. Mahathir yang juga Perdana Menteri Interim dalam sidang media semalam memaklumkan Dewan Rakyat akan bersidang Isnin ini untuk memilih Perdana Menteri kelapan.

Ahli Parlimen Langkawi itu sebelum ini meletak jawatan sebagai Perdana Menteri pada Isnin lalu sebelum dilantik sebagai Perdana Menteri Interim oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. – myMetro Online

Loading...