KPDNHEP Tumpas Sindiket Seleweng LPG

SHAH ALAM – Kegiatan haram satu sindiket penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi sejak setahun lalu lumpuh apabila premis mereka diserbu pihak berkuasa di sekitar Kampung Pulau Meranti, Puchong, kelmarin.

Serbuan itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sepang, kira-kira jam 4 petang.

Ia membawa kepada rampasan sebanyak 151 tong gas berkapasiti 14 kilogram (kg) dan 50 kg yang ditemui dalam terdapat premis tidak bernombor berkenaan.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP negeri, Azman Adam berkata, operasi itu dijalankan hasil maklumat awam dan risikan pihaknya mengenai aktiviti penyelewengan gas berkenaan sejak dua minggu lalu.

“Ketika serbuan, seorang lelaki berusia lingkungan 30-an didapati sedang menjalankan kegiatan pemindahan gas bersubsidi ke dalam tong gas industri.

“Kita kemudian merampas sebanyak 117 tong berkapasiti 14 kg dan 34 tong kapasiti 50 kg umtuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi NSTP.

Azman berkata, semua eksibit termasuk sebuah lori yang disita dianggarkan berjumlah RM50,000 manakala lelaki itu ditahan bagi membantu siasatan.

“Barang rampasan itu dihantar di Stor Penyimpanan KPDNHEP.

“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan denda sehingga RM 1 juta atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan,” katanya.

Beliau berkata, sindiket itu dipercayai bergiat aktif sejak setahun lalu dan pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut. – BH ONLINE

Loading...