Korban Kelima Tragedi Bot Karam Ditemui

BACHOK – Suasana pilu menyelubungi Jeti Perikanan Kemasin apabila mayat korban kelima tragedi bot terbalik di sini, dibawa naik jam 2.18 petang tadi.

Mangsa dikenal pasti sebagai Ahmad Syafiq Che Alim, 29, menerusi proses pengecaman mayat oleh ibu bapanya, Ghaniah Deraman, 62, dan Che Alim Muda, 69.

Mayat mangsa ditemui Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) melalui unit penyelam Maritim.

Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Kepten Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob, berkata mayat ditemui dalam ruang rehat bot berkenaan di kawasan kedalaman 40 meter.

Katanya, mereka mengalami kesukaran mengeluarkan mayat mangsa yang terperangkap dalam ruang berkenaan kerana berkeadaan mengiring dan suasana gelap di ruang sempit.

“Kita menemui mayat mangsa pada jam 7 pagi namun mengambil masa sejam untuk dikeluarkan.

“Selain sempit, anggota juga berdepan peralatan memukat, jaring dan tali berbelit yang membahayakan penyelam.

“Kita percaya mangsa bersembunyi di ruang rehat itu bagi menyelamatkan diri ketika bot dilanda ribut namun gagal keluar selepas terperangkap,” katanya ketika ditemui di jeti itu, hari ini.

Muhd Nur Syam berkata, operasi penyelaman dilakukan tiga anggota skuba Maritim selain turut dibantu unit penyelam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau berkata, pihaknya mengambil keputusan menunda bot berkenaan memandangkan keadaannya yang boleh tenggelam pada bila-bila masa.

“Tindakan itu terpaksa diambil kerana pencarian mangsa lain di sekitar bot agak berisiko jika dilakukan di tengah laut,” katanya.

Katanya, bot itu terpaksa ditunda dua kali kerana terlalu berat.

“Kali kedua kita gunakan tiga bot pukat tunda dan membawa bot terbalik itu ke kawasan muara bagi memudahkan pencarian baki mangsa yang hilang,” katanya,

Mayat Ahmad Syafiq dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu untuk bedah siasat.

Sebelum ini, empat pemancing dilaporkan meninggal dunia manakala empat lagi hilang selepas bot dinaiki terbalik dibadai ribut dan ombak besar di kawasan perairan berhampiran Kuala Kemasin, di sini, malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohamad Piah, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 8.30 malam membabitkan sebuah bot dinaiki 20 pemancing termasuk tekong. – BH Online

Loading...