Khairuddin Cabar Muhyiddin Bersihkan Skandal Seksnya

IBARAT berpatah arang, berkerat rotan… Parti politik jenis apakah ini pun tidak diketahui walhal ia baru tiga bulan beroperasi dengan ramai nama hebat tetapi sudah macam-macam hal pelik terjadi.

Isu penyingkiran Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Anina Saadudin; sekali gus memecah rekod pegang jawatan paling singkat di dunia kini menyebabkan nama Tan Sri Muhyiddin Yassin pula terpalit sama.

Ini selepas rakan baik Anina, yang juga bekas ahli PPBM dan pengasas Gerakan Selamatkan Malaysia, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mahu Presiden PPBM itu membersihkan namanya daripada sebarang tuduhan skandal.

Menurut bekas anggota UMNO itu, selaku presiden parti tersebut, Muhyiddin juga tidak seharusnya dikecualikan daripada membersihkan nama ekoran isu moral yang sedang tular membelenggu imej dirinya sejak sekian lama.

“Semua pihak jangan pandang remeh isu ini. PPBM mesti mengambil tindakan proaktif secara bernas mematikan serangan UMNO terhadap isu skandal ini pada musim pilihan raya umum kelak. Ini pasti berlaku,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media hari ini sebagai mengulas isu ‘panas’ Anina yang disingkirkan secara dramatik daripada jawatan ketua sayap pergerakan wanita parti pembangkang terkecil itu pada Ahad.

Anina menerusi kenyataan kepada beberapa portal berita tempatan mendakwa bahawa dirinya dipecat daripada jawatan tersebut, namun dakwaan aneh itu dipertikaikan Ketua Penerangan PPBM, Datuk Kamarudin Md. Nor.

Baca: Anina Pecah Rekod Dunia Sekejap Pegang Jawatan?

muhyiddin

Mantan ahli UMNO itu berkata beliau sudah tanya Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan setiausaha agung, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh yang mengesahkan keputusan penyingkiran beliau tersebut.

“Jika Anina tidak dilantik disebabkan viral  (tular) skandal seks beliau; ramai rakyat di peringkat akar umbi turut bertanya tentang kedudukan tuduhan kes Muhyiddin dengan isteri orang suatu masa dulu,” tegas Khairuddin.

Beliau seterusnya berkata, demi kebaikan kelangsungan hala tuju PPBM, presiden parti itu perlu membersihkan imej diri apatah lagi nama Muhyiddin disebut jelas dalam akuan bersumpah oleh suami wanita tersebut sendiri.

Malah, katanya sebuah badan bukan kerajaan, Jaringan Melayu Malaysia membuat laporan rasmi mengenai kes itu kepada Jabatan Agama Islam Johor kerana ia berlaku sewaktu Muhyiddin ialah Menteri Besar negeri berkenaan.

“Kalau PPBM ingin cemerlang, ia bukan saja mesti bersih tetapi juga harus kelihatan bersih. Majlis tertinggi parti mesti ambil pendekatan tegas ke arah membersihkan imej parti yang makin tercalar kebelakangan ini,” katanya.

Sehubungan itu ujar Khairuddin, Pakatan Harapan harus pertimbangkan untuk menonjolkan calon lain pula dari kalangan tokoh pemimpin muda seperti Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai bakal perdana menteri baharu.

Ia sebagai persediaan jika barisan pembangkang memenangi pilihan raya umum susulan keputusan muktamad mahkamah tidak membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kesalahan liwat. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Loading...