“Kenapa Fuziah Tak Mesej Terus Redzuan?” – Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh perlu berterus terang siapa menteri yang dimaksudkannya menyokong isu kilang memproses nadir bumi milik Lynas Corporation Ltd. (Lynas) di Gebeng Kuantan, Pahang dalam kenyataan terbukanya semalam.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, kritikan itu seolah-olah ditujukan kepada Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Mohd. Yusof memandangkan beliau secara terbuka mengatakan keputusan Kabinet membenarkan Lynas terus beroperasi adalah tepat.

“Dalam warkah terbuka Fuziah ada menyebut tentang menteri PH yang juga bekas ahli Barisan Nasional (BN) mempertahankan Lynas.

“Jadi menteri yang dimaksudkan ialah Redzuan? Kenapa tidak mesej terus Redzuan? Takkan tidak ada nombor telefon Redzuan?” soalnya menerusi status yang dimuat naik dalam Facebook rasminya semalam.

Semalam, Fuziah dalam kenyataan terbuka meluahkan kekecewaan terhadap menteri PH yang juga bekas ahli menyokong keputusan Kabinet membenarkan Lynas beroperasi.

Fuziah berkata, pihak tersebut menganggap Lynas sebagai isu politik sedangkan ia adalah isu teknikal yang sukar difahami. – UTUSAN ONLINE

Loading...