KEMATIAN anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim hari ini meningkatkan tekanan ke atas kerajaan Pakatan Harapan agar bertindak tegas terhadap pihak terlibat.

Adib disahkan mati hari ini akibat kecederaan dipukul oleh perusuh di kui Sri Maha Mariamman di Subang Jaya pada 26 November lepas, selepas perusuh Hindu bertindak menghalang tindakan merobohkan kuil yang berada di atas tanah milik pihak lain itu.

Kejadian di kuil itu telah mencetuskan pertembungan politik antara umat Islam dan PH yang telah menunjukkan sokongan kepada pihak Hindu yang mempertahankan kuil itu.

Sejurus kematian anggota bomba itu diketahui melalui media, media sosial dibanjiri mesej kemarahan orang ramai yang menuntut Menteri Perpaduan, P Waytha Moorthy meletak jawatan atau dipecat.

Sejurus insiden berlaku, seorang exco Selangor, V Ganabatirau sejurus kejadian rusuhan berlaku mendakwa sekumpulan orang Islam menyerang kuil itu.

Dia dikecam dan dituntut meminta maaf, tetapi menolak segala tuntutan itu selepas menyinggung umat Islam ekoran kejadian yang berpunca daripada pihak kuil sendiri.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin juga dikritik kerana dilihat bersikap lembut terhadap pihak perusuh Hindu, walaupun setelah berlaku rusuhan yang menyebabkan Adib cedera parah.

Seorang lagi pemimpin PH, Menteri Besar Selangor, Amiruddin Saari turut dilihat menyebelahi pihak kuil apabila pada mulanya membuat kenyataan yang kerajaan Selangor akan membayar balik harga tanah kepada pihak pemaju yang sudah membeli tanah itu daripada pihak kuil.

Waytha Moorthy pula mengambil sikap menyebelahi pihak kuil, dan apabila beliau bersama beberapa ahli Parlimen India PH membuat sidang media di Parlimen dan membuat kenyataan menyalahkan polis.

Sidang media itu melibatkan menteri-menteri yang tidak berkaitan portfolio mereka dengan isu kuil itu, antaranya Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran; Menteri Komunikasi, Gobind Singh Deo dan Xavier Jayakumar, menteri Air, Tenaga dan Sumber Asli.

Sejarah tidak dapat dipadam kerana semua sudah menyaksikan bagaimana PH berpihak kepada pihak yang bertanggungjawab menyebabkan kematian Adib. – Mynewshub.tv

Loading...