Keledek Jadi Komoditi Baharu Perlis

KANGAR – Ubi keledek kini boleh menjadi satu komoditi baharu di Perlis terutama di kawasan tanah berpasir, kata Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Datuk Nazipah Jamaludin hari ini.​

Katanya, sehubungan itu para petani di negeri itu perlu melihat pengeluaran ubi keledek kerana potensinya selain komoditi sedia ada seperti mempelam, rock melon dan pisang berangan yang mampu memberikan pulangan kepada pengusahanya.

“Kita juga perlu melihat kepada perkembangan industri pemprosesan tempatan yang memerlukan ubi keledek ini selain mengimportnya bagi memenuhi keperluan,” katanya selepas menyaksikan perjanjian kontrak jual beli atau ‘Forward Agreement’ (FA) ubi keledek antara FAMA dan syarikat Ecovalley Farm Sdn Bhd yang menjalankan penanaman komoditi itu di sini.

Perjanjian itu melibatkan pembelian hasil ubi keledek yang diusahakan syarikat itu di kawasan seluas 50 ekar (20 hektar) yang diusahakan di Chuping dengan anggaran hasilan 112 tan metrik setahun yang bernilai kira-kira RM157,000. ​​​​​​​

​​​​​​​Dalam perjanjian itu FAMA diwakili Timbalan Pengarah FAMA Perlis, manakala Ecovalley Farm diwakili Pengurusnya, Suhaimi Kassim.

Tahun lepas, Malaysia mengimport sebanyak 2,400 tan metrik ubi keledek dari Thailand bagi memenuhi permintaan tempatan.​​​​​​​

Nazipah berkata, sehingga hari ini lebih 60 peserta telah menandatangani FA dengan FAMA negeri melibatkan hasil komoditi seperti mangga sala, rock melon, pisang berangan dan buah-buahan bermusim.

Sementara itu Pengarah FAMA Perlis Mohamad Paisal Amri berkata pihaknya akan menganjurkan Perlis Fama Fest 2018 yang akan diadakan pada 7 sehingga 9 Dis akan datang di Pasar Tani Kurong Tengar.  – BERNAMA

Loading...