JAKARTA – Tanpa diduga, Presiden Indonesia, Joko Widodo mengejutkan banyak pihak apabila tampil solat di kawasan Monumen Nasional (Monas) di sini dalam keadaan basah ditimpa hujan.
Tindakan tidak dijangka beliau yang mesra disebut Jokowi itu difahamkan kerana ingin bersama-sama puluhan ribu penunjuk perasaan yang berhimpun secara aman dalam acara dikenali sebagai ‘212’ sempena dengan tarikh hari ini.
Aksi spontan pemimpin tertinggi republik tersebut juga secara tidak langsung meredakan kebimbangan masyarakat tempatan berhubung kemungkinan berulang sekali lagi rusuhan ganas berdarah seperti berlaku 4 November lalu.
Insiden demonstrasi itu disertai lebih 100,000 peserta sebagai tanda bantahan atas kebiadapan Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaya Purnama, seorang etnik Cina Kristian menghina al-Quran ketika berkempen pilihan raya tempatan.
Agensi berita rasmi tempatan, Antara melaporkan kira-kira 22,000 anggota polis dikerah untuk mengawal ibu kota Indonesia itu susulan peserta mula berkumpul seawal 5 pagi dan bergerak dari Masjid Istiqlal menuju ke Monas.

Foto kemunculan Jokowi bersongkok dengan memakai kemeja putih dan berseluar hitam sambil memegang payung malah menjadi viral menerusi media sosial di seluruh Indonesia selain turut menerima pujian daripada netizen.
Hujan lebat di bandar raya Jakarta tidak menghalangi Jokowi menunaikan solat Jumaat berjemaah secara terbuka ditemani Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla dan ramai barisan menteri Kabinet beliau yang beragama Islam.
Mereka ialah Menteri Sekretariat Negara, Prof. Dr. Pratikno; Setiausaha Kabinet, Pramono Anung; Menteri Koordinator Politik Hukum dan Keselamatan, Wiranto; serta Menteri Koordinator Maritim, Luhut Binsar Pandjaitan.
Turut serta ialah Ketua Badan Perisikan Negara, Jeneral Budi Gunawan; Menteri Agama, Lukman Hakim Saifuddin; Ketua Polis Negara, Jeneral Tito Karnavian dan Panglima Tentera Nasional Indonesia, Jeneral Gatot Nurmantyo.
Jokowi, 55, turut memilih untuk berjalan kaki sahaja berbanding menaiki kereta rasmi presiden. Pengguna media sosial dilaporkan akhbar berpengaruh Kompas sebagai terkejut dan foto beliau itu juga menjadi topik trending.

Tanpa protokol, aksi bersahaja presiden ketujuh republik terbesar rantau Asia tenggara itu menjadi bahan perbualan menerusi laman Twitter dengan kebanyakan netizen meluahkan perasaan kagum atas keberanian Jokowi tersebut.
Beliau bahkan hanya berjalan kaki sejauh 900 meter dari Istana Merdeka pukul 11.40 pagi (12.40 tengah hari waktu Malaysia) dan tiba di Monas 20 minit kemudian yang menyebabkan ribuan penunjuk perasaan terperanjat besar!
Seorang lelaki dipercayai penganjur perhimpunan ‘212’ mengumumkan kehadiran Jokowi menerusi pembesar suara sekali gus ramai peserta ceria menyambut kemunculan beliau dengan laungan takbir Allahu Akbar beberapa kali.
Selesai mengaminkan doa solat Jumaat, Jokowi mengambil peluang bersalaman serta bertanya khabar dengan ramai jemaah sambil mengucapkan terima kasih kerana aksi tunjuk perasaan kali ini berlangsung secara aman.
“Saya ingin memberikan penghargaan kepada semua jemaah yang hadir, kerana cukup tertib dalam ketertiban. Allahu Akbar! Sekali lagi terima kasih kalian,” tegas Jokowi penuh terharu. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

