Jaringan Faiz Subri Tersenarai 10 Terbaik Anugerah Puskas

KUALA LUMPUR – Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) hari ini menyenaraikan gol Mohd Faiz Subri sebagai antara 10 jaringan tercantik untuk Anugerah Puskas 2016.

Fifa dalam laman sesawang rasminya, www.fifa.com, memaklumkan gol Mohd Faiz itu adalah antara yang disenaraipendekkan bagi melalui proses awal pemilihan sebelum melalui peringkat kedua.

Selain jaringan cantik Mohd Faiz yang dilakukan pada perlawanan Liga Super antara Pulau Pinang dan Pahang di Stadium Bandaraya Pulau Pinang pada 16 Februari lepas, turut tersenarai ialah gol pemain antarabangsa, Lionel Messi dari Argentina.

Peminat bola sepak boleh membuat undian terhadap jaringan pilihan mereka bermula hari ini menerusi laman sesawang Fifa sehingga 2 Disember ini.

Tiga jaringan terbaik yang mendapat undian terbanyak akan melalui undian sekali lagi.

Pemenang akan diumumkan pada Anugerah Bola Sepak Fifa di Zurich pada 9 Jan 2017. – BERNAMA