Jadi Bos Khazanah Ada Aset RM157 Bilion, Bukan Rugi RM80 Juta

SEJAK Pakatan Harapan (PH) menang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad terbukti berjaya ‘selamatkan Malaysia’ dalam masa kurang 100 hari.

Khazanah Nasional Berhad umpamanya, ditinggalkan untuk diwarisi era pemerintahan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (yang tumbang akibat fitnah) dengan nilai aset melebihi daripada kerugian dicatatkan.

Ironi, kerana mahu hasut rakyat benci Barisan Nasional (BN) dan khususnya Najib, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali semalam cuba perbesar angka rugi bisnes coli dan seluar dalam wanita sebanyak RM80 juta.

Justeru, ia mewajarkan pimpinan atasan Khazanah yang tiada tali persaudaraan dengan Najib tiba-tiba diarahkan untuk lepas jawatan masing-masing pada minggu lalu. Ada yang lihat ia sebagai usaha terancang cukup sistematik.

Ada pihak ugut mereka supaya kosongkan jawatan. Kebenaran kisah ini tidak dapat dipastikan. Sekadar berlegar di sembang warung politik sahaja. Lucunya Mahathir boleh pula lantik dirinya sendiri untuk jadi Pengerusi Khazanah!

Hakikatnya komuniti bisnes seluruh dunia terkejut besar dengar berita pengunduran serentak ramai bos Khazanah termasuk Pengarah Urusannya, Tan Sri Azman Mokhtar sendiri yang sepatutnya berakhir kontrak sekitar Mei 2019!

Apa yang pasti, sayap pelaburan strategik kerajaan Malaysia itu pada hari ini sebenarnya memiliki aset mewah kira-kira RM157 bilion, sejak Azman mengambil alih Khazanah daripada hanya RM65 bilion pada 2004 lalu! Banyak tu!

Najib ada bertanya di dalam Dewan Rakyat mengenai isu pengunduran ramai peneraju Khazanah, Azmin cuma jawab konon ia rugi RM80 juta bagi pelaburan pakaian dalam. Kata orang, dalam berniaga tentu ada untung rugi.

Andai kata angka RM80 juta itu mahu dibandingkan dengan RM150 bilion, apakah kerajaan PH telah secara tidak langsung mengatakan Khazanah telah pun mengalami kerugian secara keseluruhannya berbanding aset dimilikinya?

Bertambah pelik, Mahathir selamba umum melantik diri sendiri sebagai Pengerusi Khazanah manakala Azmin pula sebagai orang nombor dua walhal ia jelas bertentangan dengan janji manifesto PH sendiri untuk kempen PRU lepas.

Apabila netizen mula persoal tentang manifesto blok parti itu untuk bebas GLC daripada pengaruh orang politik, pemimpin PH dengan tanpa rasa bersalah buat-buat tidak tahu bahkan menghalalkan apa yang haram sebelumnya.

Ibarat kata, dulu babi haram dimakan. Tapi jika babi ada depan mata, selamba ratah. Hakikatnya Khazanah selama ini tidak pernah menerima suntikan modal tetap daripada pihak kerajaan BN sejak diwujudkan puluhan tahun lalu.

Kisah kejayaan Azman (baca: bukan pun anak Najib) sebenarnya sudah bermula lama beberapa tahun sebelum ini. Memang ada suara yang mahukan ‘kerusi’ beliau. Iyalah, aset sah ada beratus-ratus bilion ringgit yang dikumpul.

Ini membuatkan ramai kelabu mata seperti harimau renung daging. Kecemerlangan Khazanah jauh berbeza dengan Temasek Holdings, sayap pelaburan kerajaan Singapura yang rugi besar akibat campur tangan politik keterlaluan.

Tidak seperti entiti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Tabung Haji, Khazanah tidak menerima suntikan modal tetap, selain ia laksana pelaburan pemangkin di dalam dan luar negara – serta inisiatif pembangunan untuk negara.

Ia menjayakan modal insan melalui Yayasan Hasanah ditubuh pada 2015 dengan RM3 bilion dicagar sebagai biaya bagi pacu agenda pembangunan bangsa memajukan Malaysia menjadi negara berdaya saing di peringkat global.

Modal ini dilindungi dan hanya faedah digunakan untuk memastikan kemapanannya. Tahun lalu sahaja, yayasan tersebut hanya membelanjakan kira-kira RM125 juta, dengan sebahagian besarnya untuk fokus bidang pendidikan.

Dan, ia akan terus melaksanakannya selain pujian wajar diberikan kepada Najib dan Ahli Lembaga Khazanah atas kebijaksanaan dalam melaksanakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang tiada dibuat di negara lain.

“Pelaburan ini mungkin berupa wang yang boleh diisytiharkan sebagai dividen. Justeru, pengkritik perlu membuat analisis yang tepat sebelum membuat anggapan dan kesimpulan sempit,” kata sumber rapat dengan Khazanah.

Satu daya usaha CSR yang boleh dibanggakan pihak Khazanah ialah menerusi Skim Latihan 1Malaysia, dengan menyediakan latihan kemahiran kepada siswazah menganggur untuk meningkatkan tahap kebolehpasaran mereka.

Setakat ini, ia sudah melatih kira-kira 4,200 graduan dengan kos RM20,000 seorang, bahkan ada khabar gembira apabila lebih daripada 80 peratus siswazah menganggur ini sudah berjaya mendapat pekerjaan yang bersesuaian.

Melihat kepada situasi ini, apa yang hendak diselamatkan? Atau Mahathir sebenarnya mahu menyelamatkan harta negara bukan untuk rakyat sebaliknya untuk diri sendiri, anak beranak dan kroni-kroni? – Agensi/Mynewshub.TV