Haziq Ada 14 Hari Jawab Surat Tunjuk Sebab

KUALA LUMPUR – Lembaga Disiplin PKR memberi tempoh 14 hari kepada Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz untuk menyerahkan surat tunjuk sebab ekoran kenyataan umumnya berhubung kontroversi video seks melibatkan dirinya dan seorang individu didakwa mirip Timbalan Presiden parti itu.

Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Ahmad Kassim berkata, kenyataan Haziq Abdullah itu jelas telah mencemar nama parti selain menjatuhkan maruah dan merosakkan reputasi dan keperibadian kepemimpinan parti.

“Lembaga disiplin juga ambil maklum penafian Timbalan Presiden dan akan meneliti sebarang penjelasan sekiranya ada.

“Kami juga menunggu siasatan dan dapatan daripada PDRM ataupun pihak berautoriti terlebih dahulu selain memberi amaran keras kepada semua anggota parti supaya tidak membuat kenyataan tanpa asas dan fakta kepada kepemimpinan parti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di ibu pejabat PKR dekat Petaling Jaya di sini hari ini.

Yang hadir sama, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Tambah Ahmad, keempat-empat tindakan yang diambil tersebut telah dimaklumkan kepada Biro Politik PKR hari ini selepas Lembaga Disiplin PKR mengadakan mesyuarat pada Ahad lalu.

Loading...