JIKA anda merupakan peminat setia novel hasil penulis thriller No.1, Ramlee Awang Murshid, anda pasti sudah memiliki kesemua 34 buah buku yang telah ditulis oleh beliau.
Baca: Zul Ariffin ‘Bersihkan’ Imej, Giat Promosi Tombiruo
Setiap buku yang dihasilkan mempunyai kisah yang berbeza dan tidak terfikir dek akal manusia biasa. Penulisannya yang seakan-akan misteri dan memerlukan imaginasi serta hasil kajian yang teliti.
Lebih-lebih lagi pada novel yang bertajuk Aku Bercerita. Pasti anda akan merasakan bahawa anda sedang berada dalam awang-awangan imaginasi rekaan Ramlee.
Seperti yang semua setia maklum, filem aksi terbaharu adaptasi daripada novel thriller beliau, Tombiruo: Penunggu Rimba yang bakal ditayangkan di pawagam pada 12 Oktober yang akan datang.
Majlis pelancaran filem ini juga telah diadakan pada 5 September yang lalu.
Ramlee Awang Murshid, 49, sendiri mengakui akan rasa debaran menantikan tarikh tayangan filem itu kerana dia sedikit bimbang tentang penerimaan penonton serta pembaca setia novelnya.

“Jauh di sudut hati, saya tetap gembira, cuma rasa tak sabar untuk menanti reaksi peminat filem ini. Tapi, saya lebih bersedia untuk menerima segala kritian penonton.
“Saya sendiri telah menulis sejak 20 tahun yang lalu dan bagi saya, kritikan itu adalah perkara biasa,” katanya ketika ditemui oleh pihak Media Hiburan.
Filem ini telah diarahkan oleh Nasir Jani dan Seth Larney, sekali gus telah merealisasikan permintaan kebanyakan pembaca setia novelnya untuk melihat hasil karyanya ke layar perak.
“Novel memiliki empayar yang luar manakala filem terikat dengan masa. Jadi kalau nak masukkan semua cerita macam yang tertulis dalam novel, ianya sangat mustahil.
“Kita cuma boleh berikan yang terbaik agar cerita utama novel ini dapat dilahirkan ke dalam filem. Saya cuma boleh kata bahawa jalan ceritanya tetap sama seperti did alam novel,” katanya lagi.

Bagi anda yang tidak tahu apakah maksud Tombiruo, ianya merupakan kata nama lain bagi hantu yang merupakan kepercayaan kaum Kadazan Dusun di Sabah iaitu negeri kelahiran penulis ini sendiri. Dalam maksud lain, Tombiruo juga bermaksud hero.
“Di Sabah terlalu banyak etnik dan Tombiruo ini lebih sinonim dalam masyarakat Kadazan Dusun. Malah istilah ini juga jarang digunakan oleh masyarakat di Sabah.
“Dari situ saya cuba perkenalkan melalui Tombiruo: Penunggu Rimba tetapi saya perkenalkan Tombiruo ini bukan hanya hantu, tetapi dia juga sebagai hero,” katanya lagi.
Watak Tombiruo juga merupakan semangat serta roh yang tidak terbentuk namun mempunyai sifat. Ianya menakutkan serta muncul dalam pelbagai gambaran.
Novel Tombiruo: Penunggu Rimba telah pun diterbitkan pada tahun 1998 menerusi syarikat penerbitan Alaf 21 di bawah Grup Buku Karangkraf.
Tombiruo juga merupakan lelaki yang tidak mempunyai wajah seperti manusia namun dia telah sehabis baik untuk mempertahankan jajahannya di dalam sebuah hutan.
Kini, novel ini sudah menjadi ‘Top 10’ di kebanyakan kedai buku terkenal di Malaysia. Jika anda sudah baca novel ini, pasti anda dapat kenal pasti banyak unsur dalam novel ini seperti cinta, politik, keluarga dan juga aksi.

Tambahan lagi, Tombiruo itu merupakan gelaran yang diberikan oleh orang kampung kerana dia telah dianggap sebagai penunggu hutan.
Dia juga telah disisihkan oleh penduduk kampung kerana wajahnya tidak seperti manusia biasa dan sering memakai topeng.
Namun dia mula berubah bertujuan untuk membalas dendam di atas satu insiden tragis yang telah menimpa dirinya.
Difahamkan juga bahawa Ramlee sendiri turut terlibat dalam proses pemilihan pelakon seta penghasilan skrip.
Filem ini sangat istimewa kerana telah mendapatkan gabungan empat syarikat tersohor iaitu Astro Shaw, Grup Buku Karangkraf, Ideate Media serta Layar Sunan yang telah berkolaborasi buat pertama kalinya selaku barisan penerbit.
Para pelakon yang hebat juga telah menguatkan lagi filem ini. Antaranya ialah Zul Ariffin, Farid Kamil, Nabila Huda, Faizal Hussein serta Farah Ahmad.
Tidak ketinggalan, nama besar yang turut bersama-sama menjayakan filem ini ialah Datul M. Nasir dan juga isterinya sendiri, Datin Marlia Musa serta ramai lagi.
Filem aksi hebat ini bakal ditayangkan di seluruh pawagam pada 12 Oktober yang akan datang. – MYNEWSHUB.CC/Ainaa Hafizah