Gunung Berapi Etna Di Itali Meletus Lagi

ROM – Gunung berapi Etna dilaporkan meletus hari ini dengan mengeluarkan debu selain menghasilkan beberapa gempa bumi kecil sehingga menyebabkan penutupan separuh ruang udara Sicily di sekitar pergunungan itu.

Institut Gempa Bumi Itali (INGV) mengira lebih 130 gegaran seismik di zon itu dengan rekod paling kuat mencecah 4.0 magnitud.

“Letusan berlaku pada bahagian pergunungan Etna.

“Ia letusan lateral pertama dalam tempoh lebih sepuluh tahun, namun seperti tidak merbahaya,” kata pakar gunung berapi INGV, Boris Behncke memberitahu AFP.

Susulan jarak penglihatan teruk akibat debu, pihak berkuasa terpaksa mengehadkan penggunaan ruang udara tempatan dengan hanya membenarkan empat pendaratan setiap sejam di Lapangan Terbang Catania, dekat sini.

Behncke menambah, jarak penglihatan yang tidak jelas menyebabkan terlalu sukar menentukan sama ada letusan itu disusuli dengan lahar.

Gunung berapi Etna mempunyai ketinggian 3,300 meter adalah gunung berapi terbesar yang masih aktif di Eropah dan letusan terakhir berlaku pada tahun 2017. –AFP/BH ONLINE

Loading...