Gempa Lombok: 2 Jenazah Dibawa Pulang Hari Ini

JAKARTA – Jenazah 2 rakyat Malaysia yang terkorban dalam kejadian gempa bumi dan tanah runtuh di Lombok Ahad lalu, dijadual tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 5.10 petang hari ini.

Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, dalam kenyataan, berkata mendiang Tai Siew Kim dan Lim Sai Wah akan dibawa pulang ke Malaysia dengan menggunakan penerbangan Garuda Indonesia, GA816.

Selain itu, 17 mangsa lain akan turut pulang ke tanahair esok dengan menaiki pesawat Air Asia dengan nombor penerbangan AK309 terus dari Lombok dan dijangka tiba di KLIA2 pada jam 3.15 petang, katanya.

Bagaimanapun, 4 lagi warganegara Malaysia yang cedera dalam kejadian itu masih menerima rawatan di Rumah Sakit Umum Daerah – (RSUD) Mataram.

Kenyataan itu menyebut pegawai Kedutaan Malaysia di Lombok sedang giat menyelaras dengan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan kelancaran urusan membawa pulang jenazah serta warganegara Malaysia yang terjejas.