Dulu Ganti Pasport Hilang ‘Free’, Kini Denda RM1,200

TINDAS… Jika selama 60 tahun di bawah Barisan Nasional (BN), tiada sebarang penalti dikenakan Jabatan Imigresen terhadap mereka yang kehilangan pasport termasuk sebab kecuaian diri sendiri.

Malangnya, belum pun genap setahun Pakatan Harapan (PH) tawan Putrajaya, rakyat marhaen sekali lagi ditindas kerajaan baharu itu apabila mula dikenakan hukuman denda jika ganti pasport kerana hilang waima kes kecurian.

Media tempatan hari ini melaporkan penalti antara RM300 hingga RM1,200 boleh dikenakan kepada individu yang mahu menggantikan balik pasport mereka ekoran faktor kehilangan atau kerosakan dokumen perjalanan rasmi itu.

Menurut Warta Kerajaan Persekutuan berhubung Perintah Fi (Pasport dan Visa) (Pindaan) 2019 yang bertarikh 20 Disember tahun lalu, arahan pelaksanaan perintah denda itu sebenarnya telah pun berkuat kuasa pada Rabu lalu.

Menurut pekeliling baharu berkenaan lagi, individu yang mahu membuat semula urusan penggantian pasport buat kali pertama ekoran kehilangan atau kerosakan dokumen tersebut akan dikenakan denda sebanyak RM400.

Manakala untuk golongan kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah atau pelajar Malaysia berusia 21 tahun dan ke bawah yang masih lagi belajar di institusi pengajian luar negara pula akan dikenakan denda sebanyak RM300.

Bagi ganti pasport kali kedua pula, denda sebanyak RM700 akan dikenakan manakala sebanyak RM600 dikenakan bagi kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah atau pelajar berusia 21 tahun ke bawah yang belajar di luar negara.

Untuk kali ketiga dan seterusnya, setiap individu itu akan didenda RM1,200 manakala denda RM1,100 kepada kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah dan pelajar berusia 21 tahun dan ke bawah yang belajar di luar negara.

Media melaporkan bahawa arahan perintah pelik tersebut disiarkan menerusi laman sesawang rasmi Pejabat Peguam Negara dan dikeluarkan oleh Setiausaha Jemaah Menteri, Datuk Seri Dr. Ismail Bakar di Putrajaya.

Hukuman itu lebih tinggi berbanding Jabatan Pendaftaran Negara yang mengenakan penalti hanya RM100 bagi kehilangan kali pertama MyKad, manakala kali kedua RM300 tetapi bagi kali ketiga dan seterusnya ialah RM1,000.

Pada 2017, Datuk Seri Mustafar Ali yang merupakan Ketua Pengarah Imigresen ketika itu, pernah cadang denda dari RM200 sehingga RM1,000 bagi kes kehilangan pasport untuk pertimbangan pihak Kementerian Dalam Negeri.

Ia ekoran jumlah pasport Malaysia yang hilang akibat faktor kecuaian termasuk sebab lupa letak di mana atau tercicir ketika sibuk pindah rumah, dilaporkan semakin meningkat pada setiap tahun. – Agensi/Mynewshub.TV

Loading...