Friday, March 29, 2024

Creating liberating content

Lelaki Tempatan Ditemui Mati...

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki warga tempatan ditemui mati dengan mukanya cedera parah...

Budak Perempuan Jadi Tebusan...

KOTA KINABALU - Seorang kanak-kanak dipercayai berumur anggaran dua tahun, dijadikan mangsa tebusan...

PKR Dapat 8 Jawatan...

PETALING JAYA – Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan UMNO menguasai separuh daripada senarai...

Hospital P.Pinang Cari Waris...

GEORGE TOWN - Hospital Pulau Pinang (HPP) mencari waris mayat lelaki yang tidak...

Wan Azizah Serlah Ketokohan Dalam Lawatan Ke UK

LONDON – Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyifatkan lawatan rasmi sulungnya sebagai Timbalan Perdana Menteri ke United Kingdom berjaya mencapai matlamatnya, sekali gus menutup siri lawatannya dalam hubungan antarabangsa kerajaan baharu Malaysia bagi 2018.

Mencatat sejarah politik negara, Dr Wan Azizah, 65, merupakan wanita pertama Malaysia menyandang jawatan nombor dua kepimpinan negara, sejak menyertai Kabinet Malaysia pimpinan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 21 Mei lepas.

Antara siri lawatan ke luar negara sama ada lawatan kerja atau rasmi yang dilakukan Dr Wan Azizah sebelum ini adalah ke Mongolia, Indonesia, Kemboja, Belgium, Qatar dan yang mutakhir ke United Kingdom.

Lawatan rasmi tiga hari yang terpaksa disingkatkan kerana perlu menghadiri mesyuarat penting bersama barisan kepimpinan utama PH di Kuala Lumpur esok menyaksikan jadual liputannya sangat padat.

Kemuncak lawatan rasmi Dr Wan Azizah adalah ucaptama pada Forum Kepimpinan Muslim Dunia (WMLF) 2018, menyerlahkan kepimpinannya sebagai timbalan perdana menteri wanita pertama Malaysia dan peranan Malaysia dalam memperkasakan wanita serta gadis dalam semua sektor ekonomi, sosial, pentadbiran dan politik.

“Saya ingin mengklasifikasikan penglibatan saya dalam WMLF pada kali ini mencapai objektif untuk mengetengahkan peranan wanita dan kanak-kanak perempuan dalam mencapai Sasaran Pembangunan Mampan (SDG) 2030,” kata Dr Wan Azizah, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Sebagai pemimpin negara, Dr Wan Azizah, dilihat mengambil peluang sebaik mungkin untuk menaikkan martabat golongan wanita di mata dunia terutamanya dalam hal-hal yang berkaitan wanita, kanak-kanak serta kesejahteraan masyarakat dalam pembangunan dan kemajuan negara.

Sayang sekali lawatannya terpaksa dipendekkan. Jika tidak, pertemuan lain yang dijadualkan untuk ibu reformasi ini pastinya membuka jalan untuk menyerlahkan lagi ikatan hubungan dua hala dengan UK termasuk menarik pelabur asing dan syarikat besar ke Malaysia, sekali gus mencerminkan keazaman untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang baharu antara kedua-dua negara.

Dalam lawatan itu, Dr Wan Azizah diiringi Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang turut terlibat menerajui sesi di WMLF mengenai industri halal dan disokong oleh Perbadanan Pembangunan Industri Halal Malaysia.

Turut mengiringi Timbalan Perdana Menteri ialah Timbalan Menteri Luar, Senator Datuk Marzuki Yahya, terutama semasa dua pertemuan penting bersama Menteri Luar Britain, Jeremy Hunt dan sesi perbincangan bersama dengan pengurusan atasan Pusat Pengajian Islam Oxford (OCIS).

Semasa di OCIS, Dr Wan Azizah mengambil peluang untuk bertukar-tukar pandangan dengan para cendekiawan dalam isu-isu berkaitan Islam kontemporari serta isu seperti keganasan, Islamofobia dan kekejaman yang melibatkan umat Islam.


“Saya mengambil kesempatan membincangkan perkara-perkara yang boleh dilakukan secara bersama untuk memperkayakan pengetahuan kita daripada sumber-sumber yang boleh diperoleh daripada hasil penemuan dan penyelidikan OCIS,” katanya merumuskan hasil lawatannya ke OCIS.

Meskipun sibuk dengan pelbagai usaha meningkatkan hubungan dua hala antara Kuala Lumpur-London dalam bidang berkepentingan negara, pertemuan dengan masyarakat Malaysia, khususnya golongan profesional yang menetap di UK tetap menjadi antara keutamaan.

Pada masa ini terdapat seramai 79,000 rakyat Malaysia termasuk 16,000 penuntut Malaysia di 130 institusi pengajian tinggi di negara ini.

Menggunakan peluang beramah mesra dengan kira-kira 200 rakyat Malaysia, Dr Wan Azizah memaklumkan perkembangan mutakhir di tanah air, cabaran yang dihadapi kerajaan Malaysia yang diterajui PH, kedudukan ekonomi serta masa depan dan hala tuju negara dalam konsep Malaysia Baharu.

Mengajak rakyat Malaysia di UK untuk turut menyumbang merealisasikan hasrat erti demokrasi dan menterjemah reformasi untuk pemulihan Malaysia, Dr Wan Azizah berkata rakyat Malaysia di luar negara bukan sahaja mempunyai peranan untuk mewujudkan imej baik malahan mempunyai peranan penting dalam membina semula Malaysia.

“Ia menjadi urusan anda untuk laksanakan pemulihan terhadap peraturan undang-undang, kerajaan yang baik, integriti dan kecekapan bahagian pentadbiran. Ia tanggungjawab anda untuk membantu bagi perlindungan hak asasi manusia.

“Ini adalah tempat anda untuk suarakan pendapat dan menuntut kepada kualiti kehidupan yang lebih baik, alam sekitar, bandar raya dan peluang bagi semua rakyat Malaysia. Jadikanlah diri anda ‘hero’(wira) bagi sejarah Malaysia untuk tahun-tahun mendatang,” katanya. – BERNAMA

Kategori