Mahathir Hoskan Jamuan Tengah Hari Untuk Emir Qatar

PUTRAJAYA – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini meraikan Emir Qatar Sheikh Tamim Hamad Al Thani yang dalam rangka lawatan kerja ke negara ini, menerusi satu jamuan tengah hari di Seri Perdana di sini.

Pemerintah Qatar itu tiba di negara ini semalam bagi lawatan kerja tiga hari ke Malaysia.

Ketibaan Sheikh Tamim di Seri Perdana disambut Mahathir sebelum diiring untuk menandatangani buku pelawat di Galeri Protokol.

Antara yang hadir pada jamuan itu ialah Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking serta Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Terdahulu, Mahathir dan Sheikh Tamim mengadakan mesyuarat di Perdana Putra.

Dalam satu kenyataan semalam, Wisma Putra berkata lawatan itu merupakan pertemuan rasmi pertama Sheikh Tamim dan Mahathir sejak pertukaran kerajaan Malaysia pada Mei lalu.

Menurut Wisma Putra, lawatan itu dilihat sebagai peluang terbaik bagi kedua-dua pemimpin membincangkan isu-isu dua hala dan saling bertukar pandangan mengenai pelbagai isu antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.

Sheikh Tamin yang menaiki takhta pada 2013 sebagai Emir Qatar kelapan, mengadakan lawatan sulung ke negara ini pada Oktober tahun lepas. – BERNAMA

Loading...