DBKL Lulus 102 Projek Bawah Pelan KL 2020

KUALA LUMPUR – Sebanyak 102 projek pembangunan diluluskan di bawah Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2020, 74 lagi masih di peringkat kajian, dan 176 projek pembangunan disemak semula bagi menyiasat sama ada ia memenuhi syarat atau bercanggah dengan Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2020 yang baru diwartakan pada 30 Oktober lepas.

Menteri Wilayah Khalid Abdul Samad berkata ada beberapa projek pembangunan yang sudah diluluskan sebelum ini, yang mana perintah pembangunan dikeluarkan dan pembayaran harga projek juga sudah dibuat, namun dihentikan kerana bercanggah dengan pelan KL (Kuala Lumpur) 2020.

Beliau berkata pihaknya mengkaji balik semua 176 projek itu menerusi 11 kategori dalam pelan KL, dengan mengambil kira faktor-faktor seperti sejarah permohonan pembangunan, harga tanah, had ketinggian bangunan serta lokasi.

“Perkara-perkara itu perlu bincang dan diteliti bagi mencari penyelesaian sesuai sebelum kami meluluskan dan mengkaji semula projek-projek itu,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Menteri Wilayah Bilangan 3/2018 di sini hari ini.

Menurut Khalid, semua projek-projek yang disemak itu merangkumi pembinaan rumah mampu milik dan rumah transit yang setiap satunya bernilai kira-kira RM100 juta.

“Kami mempercepatkan semakan dan kelulusan itu kerana tidak mahu membebankan sesetengah pemaju yang membuat pembayaran melalui pinjaman bank bagi memulakan projek mereka.

“Projek-projek yang masih dalam kajian itu ada yang membuat rayuan untuk mendapat kelulusan dan kami turut beri cadangan pembangunan kepada pemaju supaya menukar pelan atau struktur pembangunan berdasarkan pelan KL 2020 itu,” katanya.

Sementara itu, Khalid berkata lapan anggota Lembaga Penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dimuktamadkan dan akan diumumkan setelah mereka diberi watikah pelantikan tidak lama lagi dan daripada jumlah itu empat anggota terdiri daripada anggota parti politik dalam Pakatan Harapan yang juga golongan professional.

Dalam perkembangan lain, Khalid berkata semua dewan orang ramai yang dibina di bawah Unit Penyelarasan Pembangunan, Jabatan Perdana Menteri di 11 kawasan Parlimen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur akan diambil alih oleh DBKL.

“DBKL akan membuat keputusan sama ada dewan orang ramai itu akan diserah kepada siapa untuk diuruskan, jika tiada, maka ia akan dikendalikan oleh pejabat cawangan DBKL sendiri,” katanya.

Anggota Parlimen Kepong, Lim Lip Eng mendakwa ada dalam kalangan parti-parti politik dan badan bukan kerajaan yang menyalahgunakan dewan orang ramai untuk tujuan komersial seperti dijadikan kedai mencuci kereta, kilang kecil serta taska.

“Di bawah kawasan saya, ada lebih 20 dewan yang dikendalikan oleh persatuan-persatuan penduduk, yang disewakan untuk dijadikan Pusat Muay Thai dan taska,” katanya. – BERNAMA

Loading...