Covid-19: Pekarangan Kaabah Ditutup Untuk Pembersihan

MAKKAH – Arab Saudi mengosongkan pekarangan Kaabah di Masjidil Haram, semalam bagi tujuan pembersihan berikutan kebimbangan terhadap penularan wabak koronavirus baharu (Covid-19).

Media tempatan melaporkan penutupan itu yang belum pernah berlaku, akan berlangsung dalam tempoh penggantungan sementara jemaah umrah.

Pada Rabu, kerajaan itu mengumumkan sekatan kepada rakyatnya untuk melakukan umrah, seiring penggantungan sementara kemasukan jemaah umrah dari luar negara sejak minggu lalu.

Televisyen tempatan memaparkan gambar pekarangan Kaabah yang berjubin putih dan biasanya dipenuhi ribuan jemaah kini kosong.

Sebagai langkah keselamatan, kawasan itu akan ditutup sehingga sekatan berakhir, namun penduduk masih boleh beribadat di dalam masjid, lapor Saudi Press Agency yang memetik kenyataan wakil rasmi masjid.

Wakil rasmi itu berkata, Masjid Nabawi di Madinah juga ditutup sejam selepas Isyak dan dibuka semula sejam sebelum Subuh untuk membolehkan kerja pembersihan dilaksana.

Semalam, Arab Saudi mengesahkan tiga kes baharu koronavirus yang menjadikan keseluruhan lima kes setakat ini. – Agensi

Loading...