China Desak Bebas Eksekutif Huawei

CHINA mendesak Kanada dan Amerika Syarikat membebaskan Weng Wanzhou, ketua eksekutif kewangan gergasi telekomunikasi Huawei yang ditahan oleh Kanada bagi pihak AS, yang didakwa satu pencabulan hak asasi.

Seorang jurucakap kementerian luar China memberitahu wartawan: “Penahanan tanpa sebarang sebab mencabul hak asasi manusia seorang yang ditahan itu.”

“Kami telah mengemukakan rayuan kepada Kanada dan AS, mendesak supaya kedua-dua pihak segera menjelaskan sebab penahanan, dan segera membebaskan tahanan demi melindungi hak asasinya.”

Penahanan Meng berlaku pada masa yang sensitif dalam hubungan AS-China. Kedua-dua negara sedang terlibat dalam perang dagang yang menyaksikan duti import berbilion dikenakan pada barangan satu sama lain.

Bagaimanapun tidak kelihatan penahanan ini menjejaskan persetujuan menghentikan tarif selama 90 hari antara kedua-dua negara yang dicapai di pertemuan G20.

China mengumumkan dalam satu sidang media pada Khamis yang ia akan segera melaksanakan langkah dipersetujui.

Insiden ini juga berlaku pada masa negara-negara Barat menyekat Huawei daripada terlibat dalam projek 5G di negara mereka. AS, Australia dan New Zealand telah menyekat penggunaan peralatan syarikat itu dalam infrastruktur baharu rangkaian 5G yang sedang dibina.

Kementerian kehakiman Kanada mengesahkan masa dan tarikh Meng ditahan dan menambah: “Beliau dikehendaki untuk ekstradisi oleh Amerika Syarikat, dan pendengaran jaminan ditetapkan pada Jumaat.”

Menurut kementerian itu, ia tidak boleh mendedahkan lebih banyak maklumat kerana Meng telah memohon sekatan penerbitan perincian dan mahkamah telah mengeluarkan arahan ini.

Seorang jurucakap jabatan kehakiman AS di New York – yang menurut Huawei membawa dakwaan terhadap Meng – enggan mengulas. – Agensi

Loading...