LONDON – United Airlines, sekali lagi mendapat kecaman hebat selepas seekor arnab gergasi, mati dalam penerbangan dari London ke Chicago, lokasi ia dijangka diambil seorang pembeli selebriti.
Arnab Eropah gergasi sepanjang 90 sentimeter dinamakan sebagai Simon itu sebelum ini digambarkan sebagai cergas dan sihat, namun kematiannya dalam kargo pesawat Boeing 767 itu masih menjadi misteri.
“Sesuatu amat pelik berlaku dan saya mahu tahu apa. Doktor haiwan memeriksa Simon tiga jam sebelum penerbangan dan ia sihat.
“Saya pernah membawa arnab ke seluruh dunia dan perkara seperti ini tidak pernah berlaku sebelum ini,” kata penternak, Annette Edwards dari Worcestershire kepada akhbar The Sun.
Edwards juga mendedahkan pelanggan yang membeli Simon ialah seseorang amat terkenal dan beliau berasa kecewa dengan apa yang berlaku.
Simon yang berusia 10 tahun dijangka membesar menjadi arnab paling besar di dunia, selepas induk jantannya yang dinamakan Darius mencecah 1.32 meter, kata Edwards.
Menurut beliau, arnab seperti itu memerlukan perbelanjaan AS$26,610 (RM115,660) setahun.
Kejadian itu berlaku tidak sampai tiga minggu selepas United Airlines mengundang kemarahan global kerana mengheret keluar seorang penumpang dari pesawat syarikat tersebut.
Syarikat penerbangan itu dalam kenyataan berkata, ia sedih mendengar berita mengenai kematian Simon. – AFP/BH ONLINE