Apple Inc Bakal Keluar iCar?

SELEPAS menerima sambutan luar biasa gajet keluaran Apple Inc, syarikat itu kini merancang untuk mengeluarkan kenderaan mereka sendiri iaitu iCar.

Ming-Chi Kuo meramalkan Apple Inc akan memulakan perniagaan bernilai trilion dolar itu.

Pakar analisis yang bekerja untuk syarikat kewangan KGI Securities itu disifatkan sebagai penganalisis terbaik untuk Apple Inc.

Dia menjangkakan Apple akan melancarkan kenderaan sendiri antara 2023 dan 2025.

“Kelebihan teknologi terkemuka Apple, AR misalnya akan menentukan semula kenderaan dan membezakan iCar dengan produk lain.

“Perkhidmatan Apple akan berkembang dengan memasuki pasaran kewangan kereta mewah menerusi Apple Car.

“Apple boleh melakukan integrasi lebih baik dari segi perkakasan, perisian dan perkhidmatan daripada pesaingan semasa dalam sektor elektronik pengguna dan pesaing sektor auto,” katanya.

Hakikatnya spekulasi mengenai Apple Car sudah tersebar sejak beberapa tahun lalu tetapi syarikat berpangkalan di Amerika Syarika itu terus berteka-teki mengenainya.

Jadi tidak mustahil Apple Car akan berada di pasaran dalam tempoh tujuh tahun lagi memandangkan ia merupakan perniagaan yang akan memberi keuntungan besar kepada syarikat telekomunikasi gergasi itu. – mStar Online