Anwar Adakan Pertemuan Dengan Ahli Parlimen PKR

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim disahkan akan mengadakan pertemuan dengan Ahli Parlimen parti itu di Hotel Eastin Petaling Jaya tengah hari ini.

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang juga Pengerusi Majlis Penasihat PKR mengesahkan perkara itu ketika keluar dari kediamannya di Bukit Segambut Dalam di sini pada jam 12.30 tengah hari sebentar tadi.

Dr. Wan Azizah berkata, beliau juga akan menyertai pertemuan berkenaan.

Terdahulu, Anwar keluar dari kediamannya pada jam 11.55 pagi tadi.

Bagaimanapun beliau bertindak mengunci mulut dengan petugas media apabila tidak membuka tingkap kenderaan ketika diasak soalan oleh petugas media.

Kira-kira 10 minit sebelumnya, anak pasangan itu yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah keluar dari kediaman berkenaan.

Nurul Izzah berkata, beliau akan menghadiri pertemuan dengan Ahli Parlimen PKR di hotel berkenaan. – Sinar Harian

Loading...